Skip to content

Rodziah Ismail: Perutusan Hari Wanita Sedunia 2013

March 7, 2013

Perutusan

Hari Wanita Sedunia 2013 peringkat Negeri Selangor Darul Ehsan

8 Mac 2013speech2

 

Pengerusi

Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor

EXCO Kerajaan Negeri Selangor,

Yang Berhormat Puan Hajah Rodziah binti Ismail

 

Wanita Penentu Perubahan

Demi Keselamatan dan Keamanan Insan

(Women, the Determinants of Change, Ensuring Human Safety and Security)

 

Pengaruh wanita dalam menghasilkan perubahan yang hakiki dalam berbagai bidang dan peringkat amatlah besar. Ia merangkumi bidang sosio-ekonomi dan politik setempat, negeri dan negara.     Dalam sistem demokrasi di Malaysia ia boleh diterjemahkan sebagai tanggungjawab memilih barisan pimpinan di peringkat DUN dan Parlimen, iaitu melibatkan diri secara sedar, celik dan bermaklumat tepat dalam proses pilihan raya.   Ia bukan semata-mata ikutan tetapi wanita berperanan memastikan bahawa pilihan mereka akan menjamin masa depan rakyat dan negara dan segala yang berkaitan dengannya diurus dengan telus dan tulus; tiada penyelewengan, salahguna kuasa, rasuah dan pengkhianatan terhadap amanah.

 

Nikmat rasa selamat dan aman adalah asas kepada kehidupan bermasyarakat yang baik dan berkualiti; saling mempercayai, memelihara kepentingan dan kesejahteraan di kalangan anggota masyarakat.

 

Ia mewujudkan suasana yang harmoni dan hormat-menghormati di kalangan rakyat berbagai bangsa dan agama.Tiada yang menghina dan sengaja menimbulkan sangkaan buruk terhadap mana-mana pihak. Bahkan berusaha mengetahui dan memahami sensitviti setiap kaum dan agama yang berlainan.

 

Realiti di Malaysia mendapati insiden jenayah dan ancaman berlakunya jenayah itu adalah di tahap yang membimbangkan. Kerap berlaku anak-anak yang hilang dan bila dijumpai mereka telah mati dalam keadaan yang amat mengharukan. Kes-kes jenayah dan keganasan terhadap wanita masih berterusan dan pembelaan terhadap wanita masih menjadi suatu kepayahan bagi mereka.

 

Isu keselamatan dan keamanan terhadap insan, yang merangkumi lelaki dan wanita merupakan suatu jaminan yang dituntut terhadap mana-mana pemerintah negara.   Oleh sebab itu, wanita wajarlah memilih para pemimpin yang memberi keutamaan terhadap kedua isu tersebut bukan saja secara lisan tetapi tampak jelas dalam dasar, amalan dan kesungguhan yang dipraktikkan apabila wanita atau mana-mana insan dinafikan haknya, dianiaya, diperdagangkan, dicabuli, diganasi, diancam dan seumpamanya.   Pemerintah yang beramanah adalah dari kalangan mereka yang mengumpulkan jentera dan mengurus sumber yang ada dengan berkesan dalam memerangai jenayah-jenayah yang memusnahkan maruah, harta benda, nyawa, alam sekitar dan masa depan kehidupan rakyatnya.

Ukuran yang utama dalam menentukan kejayaan sesebuah pemerintahan ialah sejauh mana rasa aman dan selamat itu dinikmati oleh rakyat.

Keselamatan dan keamanan merangkumi aspek kebebasan bersuara, berkumpul, bahkan memprotes tanpa diancam dengan apa cara sekalipun, dengan syarat mengikut perlembagaan dan peraturan negara dan diiringi akhlak memuhasabah pemimpin dengan sopan.   Tentunya rakyat sentiasa ingin penyelesaian secara baik dan adil, kecuali di mana pemerintah enggan mendengar dan mementingkan agenda politik kelompok yang sempit.

 

Wanita perlu bangkit mencorak perubahan untuk menentukan ianya berlaku!   Tiada lagi sebarang kelengahan!   Wanita diberi kuasa di sisi Allah dan perlembagaan negara Malaysia untuk  menghalang dan menewaskan segala unsur dan anasir yang akan berterusan mengancam dan menjejaskan keselamatan dan keamanan dalam semua ruang lingkup kehidupan manusia, khususnya dalam memenuhi keperluan, hak dan kepentingan wanita.

Asas kepada tercapainya keselamatan dan keamanan yang hakiki bermula dengan sebuah kerajaan yang menghendaki yang sama untuk semua rakyatnya.   Kerajaan sedemikian akan secara sedar dan tersusun bertindak mewujudkan pelan-pelan tindakan yang pratikal dan berkesan serta meletakkan kerangka pendekatan menjamin keselamatan dan keamanan untuk rakyat ke atas semua jenteranya, agensi dan jabatan kerajaan, khususnya bahagian penguatkuasaan undang-undang dan peraturan serta membela mangsa-mangsa.

Itulah hasrat pimpinan Pakatan Rakyat terhadap wanita Selangor khususnya dan wanita Malaysia amnya.

Untuk memenuhi cita-cita itu, perubahan mesti berlaku di peringkat kepimpinan persekutuan di Putrajaya kerana proses perubahan yang menyeluruh perlu penyelesaian di peringkat persekutuan; pemindaaan akta-akta sedia ada dan pewujudan akta-akta baru, reformasi jentera penguatkuasaan, reformasi sistem kehakiman, reformasi pengagihan adil dan saksama pendapatan dan bajet negara adalah antara faktor-faktor dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Ayuh laksanakan, Wanita kerana Wanita Penentu Perubahan Demi Keselamatan dan Keamanan Insan. 

Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia 2013

 

Rodziah Ismail

6 Mac 2013

 

 

 

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: