Skip to content

Fuziah Salleh: SPR, harimau tidak bertaring/SPR, a toothless tiger

March 15, 2011

Sila klik di sini atau lihat di bawah teks penuh ucapan beliau:

FUZIAH SALLEH

FUZIAH SALLEH

Ucapan Bahas Titah diRaja oleh FUZIAH SALLEH, Ahli Parlimen Kuantan 15 Mac 2011

YB Fuziah Salleh telah mengemukakan empat tajuk besar dalam ucapbahas beliau petang tadi, 15 Mac 2011di Parlimen:

1. Alam Sekitar & Manusia – isu loji pemprosesan rare earth oleh Lynas Corp.

2. Krisis Makanan Global

3. Wanita & Bajet Peka Gender (Gender Responsive Budget/GRB)

4. Pilihan Raya : Medan Salah Guna Kuasa Parti Pemerintah. Dan SPR, harimau tidak bertaring/SPR, a toothless tiger. (SPR: Suruhanjaya Pilihan Raya/Election Commission)

———————————————————————————————————————

Perbahasan Titah DYMM SPB Yang Di Pertuan Agung

oleh

YB Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan

Tuan Yang diPertua

•   Saya  ucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Dipertua kerana memberi peluang dan laluan kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan Titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong buat sesi Mesyuarat ke 4 sidang Parlimen ke 12 kali ini.

ALAM SEKITAR DAN  MANUSIA

•    Saya turut serta rakan – rakan Ahli Parlimen yang lain di dalam solidariti dan menyampaikan ucapan takziah kepada Negara serta rakyat Jepun.  Ribuan nyawa manusia telah kehilangan akibat tragedi tersebut. Ribuan manusia bersedih di atas kehilangan dan kematian keluarga tercinta. Malah seluruh dunia berdukacita diatas bencana yang menimpa dan apabila melihat kerosakan keatas alam yang begitu dasyat sekali.

  • Sehingga kini sudah ada 4 reactor nuclear yang meletup dan pencemaran radiasi amat-amat mencemaskan rakyat bukan sahaja di Negara Jepun akan tetapi diseluruh rantau ini
  • Kini  ratusan mungkin ribuan manusia telah terdedah kepada bahan radiasi akibat letupan tersebut. Dimasa yang sama ratusan ribu manusia pula terpaksa dipindahkan ketempat yang lebih selamat.
  • Sehubungan dengan itu selain dari mengucapkan takziah terhadap Kerajaan dan rakyat Jepun, saya juga ingin menyarankan kepada Kerajaan Malaysia untuk memikirkan strategi membawa pindah atau membawa  balik rakyat Malaysia serta pelajar di Jepun, yang mungkin terdedah kepada bahan radiasi akibat daripada letupan reactor nuclear itu. Keprihatinan pihak berwajib untuk bertindak cepat amat-amat di perlukan pada waktu dan ketika ini. Kita tidak seharusnya menunggu kesan sampingan terdedah kepada bahan radiasi ini berlaku dengan parah sebelum kita bertindak.

Tuan Yang di Pertua

  • Alam Sekitar dan keselamatan penduduk bukan merupakan satu isu yang selalu mendapat perhatian awam di Malaysia sehinggalah tragedi seperti ini berlaku dan kita semua telah menyaksikan dengan perasaan gerun bercampur terharu serta sedih melalui kaca televisyen tentang bagaimana dasyatnya keadaan diNegara Jepun apabila tsunami melanda.
  • Sehubungan dengan perbahasan Alam Sekitar ini saya  ingin membawa isu berkenaan refinery plant ataupun logi pemprosesan rare earth kepunyaan Lynas Corp Ltd diKuantan. Perkara ini telah  saya bangkitkan buat pertama kalinya di dewan yang mulia ini pada 18hb November 2008 dan seterusnya buat beberapa kali lagi. Namun perkara ini masih belum dianggap penting oleh Kerajaan Malaysia. Projek ini masih diteruskan sehinggalah seorang wartawan NYT, Keith Bradsher  telah terbang jauh ke Kuantan untuk membuat penyelidikan dan seterusnya  menulis di dalam akhbar New York Times pada 7 November 2011.  Apabila masyarakat antarabangsa mula mengambil perhatian tentang perkembangan yang  berlaku di Malaysia berkenaan isu ini, maka rakyat di Malaysia juga sudah mula bercakap dan berbahas di kedai kopi serta di media sosial dan internet.
  • Setelah lebih dua tahun berbahas mengenai isu ini saya masih tidak faham apakah rasionalnya Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri Pahang bertegas dan beria-ia mahu meneruskan projek ini. Jelas tiada siapa  yang akan mendapat keuntungan dari projek ini.
  • Memang industri ini merupakan industri yang strategik akan tetapi, wajarkah Malaysia melibatkan diri didalam keadaan tiada keuntungan buat Negara kita?

Tuan Yang di Pertua,

Memang kita tiada mendapat keuntungan langsung. Hanya risiko yang menanti

Saya jelaskan dan tegaskan keadaan  ini adalah kerana:-

1.    LYNAS CORPORATION LTD merupakan syarikat milik penuh Australia (tiada ‘local partner’ diatas kertas) Maksudnya tiada syarikat milik rakyat Malaysia yang akan mendapat keuntungan dengan projek ini.

2.    LYNAS CORPORATION LTD dianugerahkan oleh MITI ‘Strategic Pioneer Status’ – tidak perlu membayar cukai import atau export selama 12 tahun. Maka tiada keuntungan buat Malaysia dari segi cukai korporat yang di kutip. Syarikat LYNAS Corp Ltd akan mendapat US$1.7 billion setahun daripada nilai export rare earth dan Malaysia tidak akan dapat satu sen pun dalam bentuk cukai selama 12 tahun.

3.    Logi pemprosesan rare earth di Gebeng apabila beroperasi hanya akan mengambil 450 orang pekerja (tidak ‘labour intensive’) Kebanyakan pekerja pula akan merupakan tenaga mahir dari luar Negara dan sedikit sahaja bilangan buruh dari tempatan.

Yang ada kesan keatas kita, hanyalah risiko diatas sisa buangan thorium yang mengandungi bahan radioaktif. Malaysia mendapat penghormatan menjadi ‘dumping ground’ atau tapak buangan sisa bahan radioaktif dan rakyat Kuantan menjadi mangsa tak pasal-pasal.

Di seluruh dunia, buat ketika ini, selain di Negara Cina, hanya Negara India yang punyai logi pemprosesan rare earth  – itu pun dalam skala yang amat kecil. Malaysia pula merupakan hanya satu-satu Negara di dunia   yang akan melibatkan diri dalam pemprosesan rare earth ini di dalam rangka masa 30 tahun kebelakangan ini. Apabila seluruh dunia sudah punyai kesedaran tentang bahaya rare earth dan menolak untuk memproses bahan ini selama lebih 3 dekad, Malaysia buat keputusan untuk menerima pula?

Tuan Yang di Pertua

Negara Cina memang ada kepentingan untuk memproses ‘rare earth’, kerana mereka sekarang mengawal pasaran dunia didalam industri strategik ini. Malah kilang LYNAS di Negara Cina sebelum ini diarahkan tutup kerana Negara Cina mahu mengawal pasaran dunia.  Sekarang ini Negara Cina juga meletakkan embargo keatas ‘rare earth’ ini demi untuk menjaga harga di pasaran dunia dan mengaut keuntungan yang lebih banyak.

Negara Amerika Syarikat dan Canada juga mempunyai deposit ‘rare earth ‘ akan tetapi berhenti melombong bahan ini kerana Negara Cina dapat menghasilkannya dengan lebih murah. Negara Cina yang mempunyai lombong ‘rare earth’ mereka sendiri, mempunyai lebih kurang 30% daripada deposit didunia akan tetapi mengawal 97% dari produk rare earth dalam pasaran.  Maka diatas sebab itu mereka ada sebab untuk meneruskan  pemprosesannya disana, walaupun logi pemprosesan mereka di Shanghai sungguh-sungguh tidak menepati piawaian  Alam Sekitar yang di tetapkan dunia antarabangsa.

  • Malaysia tiada lombong ‘rare earth’ dan Malaysia tidak PERLU untuk proses ‘rare earth’ ini. Seluruh dunia selama 3 dekad sudah pun menolak untuk memproses bahan ini.

Penegasan dari saya ialah Negara Malaysia mahupun Kerajaan Negri Pahang tidak mendapat keuntungan dari jumlah export LYNAS CORP sebanyak US$1.7 billion setahun hasil dari pemprosesan bermula pada penghujung tahun ini.

Apa yang rakyat Malaysia, khususnya warga Kuantan hanya akan dapat ialah sisa buangan yang mengandungi thorium. Satu bahan yang radioaktif serta juga carcinogenic. (boleh menyebabkan cancer)

Yang paling merisaukan ialah, kesan-kesan negatif dari bahan buangan radiaoaktif bukan sahaja akan berlarutan selama satu atau dua tahun – tetapi beribu ribu tahun!!! Ini bermaksud, Cucu kita, cicit kita, dan cucu kepada cicit kita juga boleh manjadi mangsa!

Tuan Yang di Pertua

  • Saya di fahamkan bahawa Malaysian Atomic Energy Licensing Board AELB  hanya mengeluarkan lesen kepada LYNAS Corp Ltd untuk bina logi pemprosesan di gebeng Kuantan akan tetapi belum lagi mengeluarkan Lesen untuk beroperasi  memproses rare earth. (Memetik Kenyataan Ketua Pengarah AELB)
  • YAB Timbalan Perdana Menteri  berkata bahawa beliau tidak pasti samada logi Lynas di Gebeng sudah mendapat kebenaran beroperasi atau tidak. Timbalan Perdana Menteri juga berkata  beliau akui bahawa ada kerisauan rakyat berkenaan pembinaan logi rare earth di Gebemg Kuantan ini.
  • Akan tetapi YAB Perdana Menteri sudah pun membuat kenyataan bahawa semua langkah keselamatan telah di ambil di logi Lynas Gebeng. Mana mungkin YAB PM membuat kenyataan demikian didalam keadaan AELB masih lagi meneliti prosedur keselamatan berkenaan pengurusan sisa buangan di logi Lynas.
  • Sehubungan dengan itu, saya ingin bertanya kepada AELB selain dari laporan dalaman agensi, adakah AELB sudah berusaha mendapatkan laporan dan kajian dari  Badan Bebas (Independent Risk Assessment) berkenaan risiko yang akan kita bakal hadapi dan impak daripada bahan sisa buangan yang mengandungi thorium ini. Selama ini apabila saya menuntut satu DEIA dibuat keatas projek ini,  pihak Kementerian  buat tak tahu juga.

Tuan Yang di Pertua

  • Buat masa ini LYNAS  masih belum ada perancangan konkrit berkenaan bagaimana sisa yang mengandungi thorium itu  akan diselenggara.

Saya tegaskan disini bahawa apa yang terbaik patut dilakukan oleh AELB ialah hentikan segala niat untuk keluarkan lesen  operasi memproses rare earth kepada LYNAS. Logi LYNAS kini masih didalam binaan dan belum bermula operasi sehingga penggal terakhir tahun ini. AELB masih sempat balik ke pangkal jalan dan buat keputusan yang terbaik demi rakyat.

Adakah kita mahu tunggu ada kes seperti di Bukit Merah, ada anak pekerja yg lahir cacat, abnormal, baru kita mahu bertindak? Adakah nyawa dan keselamatan rakyat Kuantan begitu tidak berharga kepada Kerajaan Malaysia?

Pada ketika ini, kebanyakan rakyat Kuantan sudah pun menyedari risiko yang di bawa oleh logi Lynas ini dan sedang bangkit untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka. Sekiranya selama ini pihak MOSTI, Kerajaan tempatan mahupun LYNAS mampu memperkecilkan isu ini dengan membuat ‘PR exercise’, kini tidak lagi.

Selaku wakil rakyat di Kuantan usaha saya membela keselamatan rakyat Kuantan akan saya teruskan sehinggalah logi pemrosesan LYNAS yang kini dalam binaan di tutup dan kita hantar mereka balik ke Australia. Kalau mereka terdesak sangat mahu memproses rare earth mereka, buat lah logi pemprosesan di Negara mereka sendiri.

Sehubungan dengan itu, saya gesa sekali lagi, AELB, untuk hentikan serta merta segala usaha yang menjurus kepada pengeluaran lesen kepada LYNAS untuk beroperasi. Malah pada saya isu ini tidak seharusnya timbul untuk  dibahaskan kerana Kerajaan Malaysia sepatutnya sudah awal-awal lagi menolak projek yang tidak mendatangkan manfaat serta tidak membawa keuntungan serta faedah didalam semua aspek kepada Negara ini

•   Latar belakang maklumat Pemprosesan bahan yang sama di Malaysia sebelum ini

1. November 1979: Syarikat Asian Rare Earth (ARE) dibentuk untuk mengekstrak itrium (sejenis unsur nadir bumi) daripada monazit. Sisa buangan yang menjadi milik kerajaan Negeri Perak akan disimpan kerana berpotensi sebagai sumber tenaga nuklear.

2. Jun 1982: Penduduk Parit, Perak mendapat tahu kerajaan telah memilih kawasan seluas sembilan ekar, kira-kira 6 km dari penempatan mereka untuk dijadikan tapak penimbunan sisa radioaktif syarikat ARE. Ekoran bantahan hebat daripada jawatankuasa penduduk serta lain-lain pertubuhan politik dan sosial, kerajaan membatalkan cadangan itu dan kemudian mula mencari tapak baru. Kilang ARE mula beroperasi di KM 7.2, Jalan Lahat di Bukit Merah.

3. 24 Mei 1985: Kira-kira 6,700 penduduk Papan dan pekan-pekan yang berhampiran menandatangani satu surat bantahan dan menghantarnya kepada Perdana Menteri, Menteri Besar Perak, Menteri Kesihatan serta Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar. Kemudian seramai 200 penduduk Papan membantah tapak pembuangan yang dicadangkan. Mereka menyekat jalan yang menuju ke tapak itu. Pelbagai tunjuk perasaan telah diadakan oleh masyarakat setempat sebagai membantah tindakan kerajaan ini. Kemudian pada 19 September 1985, sekumpulan tiga orang dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengunjugi tapak buangan di Papan atas jemputan kerajaan Malaysia. Mereka mengisytiharkan tapak buangan itu tidak selamat.

4. 11 Januari 1985: Selepas mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Musa Hitam, kerajaan mengambil keputusan memindahkan tapak buangan sisa ke Mukim Belanja di Banjaran Kledang yang terletak kira-kira 5 km dari Papan dan 3 km dari Menglembu. Lapan orang penduduk, bagi pihak diri mereka sendiri dan penduduk Bukit Merah membuat satu permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh menahan ARE daripada mengeluar, menyimpan atau menimbun sisa radioaktif di sekitar kampung tersebut. Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dikuatkuasakan. Ia memastikan pengendali bahagian pemasangan nuklear (termasuk kerajaan) bertanggungjawab terhadap ancaman nuklear. Lima ahli Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dibentuk di bawah Akta itu, dengan perwakilan dari Puspati, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar. Kemudian Hakim Anuar Datuk Zainal Abidin di Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan kepada penduduk Bukit Merah perintah menahan dan menghentikan ARE daripada mengeluar dan menimbun bahan sisa radioaktif sehingga langkah-langkah keselamatan yang secukupnya diambil. Lebih daripada 1,500 penduduk Bukit Merah hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan itu.

5. Kemudian pada 19 Januari 1994 ARE telah memberhentikan operasinya.

KRISIS  MAKANAN GLOBAL

•  Merujuk kepada titah DYMM Tuanku berkenaan  kebimbangan Tuanku – terhadap krisis makanan global yang bermula pada 2007/2008 yang juga telah melibatkan rantau Asia. Krisis makanan global ini  terjadi kerana penuaian hasil makanan ruji telah berkurangan  dan menurun dengan jumlah yang separuh. Kita juga maklum bahawa antara sebab lain adalah akibat dari peningkatan harga  bahan api dunia. Krisis makanan Global ini juga telah kita rasai bersama dengan kenaikan harga barang makanan dan kenaikan harga beras sebanyak dua kali ganda. Didalam keadaan dimana Malaysia mengimport beras sebanyak 30%-35% sepanjang tahun, maka tentu sekali kenaikan harga beras yang berlipat kali ganda ini, meninggalkan kesan yang mendalam keatas baget rumahtangga golongan pendapatan rendah.

1.                FAO (Food and Agriculture Organisation of the UN), Organisasi Pertanian dan Makanan dibawah Persatuan Bangsa Bangsa Bersatu  menjangkakan  bahawa krisis makanan sekali lagi akan menyelubungi dunia pada tahun 2011. Berdasarkan laporan FAO, harga tanaman bagi makanan utama akan meningkat sebagaimana yang berlaku pada tahun 2008. Malah Peningkatan ini  juga dikatakan akan berlaku lebih pantas berbanding pada tahun 2007 dan 2008. FAO juga menegaskan, bahawa masyarakat antarabangsa kini sedang berusaha dengan gigih untuk  mempersiapkan langkah-langkah bagi menangani krisis dengan peningkatan pengeluaran tanaman makanan utama secara signifikan pada 2011.

DASAR AGRO MAKANAN (2010-2020)

Sehubungan dengan itu, Dasar Agro Makanan yang baru di perkenalkan tahun lepas, merupakan initiatif yang baik. Jaminan bekalan  makanan  merupakan teras utama dalam penggubalan Dasar Agro Makanan dan ianya turut merangkumi perancangan untuk membangunkan sektor agro makanan negara secara keseluruhan.

Saya teliti Objektif kedua Dasar Agro Makanan menyebut tentang jaminan bekalan makanan mencukupi dan selamat dimakan. Objektif ini merupakan satu objektif yang amat-amat dialu-alukan dan dihargai.

Tuan Yang di Pertua,

  • Saya ingin membawa kepada perhatian Dewan yang Mulia ini bahwa Jaminan bekalan makanan telah pun menjadi salah satu objektif dalam Dasar Pertanian Negara yang Ketiga. 1998-2010.  Namun, menurut Menteri Pertanian Industri Asas Tani, isu jaminan bekalan makanan tidak diberi penekanan dan hanya diberi perhatian serius selepas berlakunya krisis makanan dunia pada tahun 2008.  ( Petikan ucapan Menteri sewaktu Konvensyen Jaminan  Bekalan Makanan 2010  – Rakaman video dan Laman Web Rasmi adalah dirujuk)
  • Alangkah kecewanya rakyat apabila mendengar kenyataan yang demikian. Persoalan yang timbul, Bagaimanakah Kerajaan Barisan Nasional menjalankan tugas membela rakyat?

Satu Dasar yang sudah  disusun  begitu cantik pun tidak dapat dilaksanakan sehingga berlaku krisis makanan global baru pula mahu meletakkan objektif yang sama untuk digunapakai semula.

  • Kesan sampingan apabila tiada bekalan makanan yang berterusan tentu sekali ialah kenaikan harga barang makanan yang menyusahkan dan membebankan rakyat seperti yang kita semua iktiraf telah pun berlaku, yang di sebut sebagai sesuatu diluar kawalan kita didalam titah Dulu Yang Maha Mulia Tuanku.
  • Saya yakin Negara kita punya pegawai-pegawai Kerajaan yang bijak dan cerdik pandai. Semua Dasar yang kita ada merupakan ide dan pandangan mereka.
  • Namun sedihnya apa yang Negara  kita juga ada ialah Menteri yang menerajui Kementerian yang tidak punyai cukup  kapasiti atau keupayaan untuk memahami serta menggarap keperluan Negara. Pemimpin yang tidak dapat menggarap apa dia isu strategik yang harus di berikan keutamaan di dalam melaksanakan tugasan mereka sebagai pemimpin. Malah tiada kehendak politik atau ‘political will to do what’s right ‘ demi rakyat. Rakyat di dahulukan tinggal slogan dan impian. Pakar pelbagai bidang didalam Kerajaan tentu terus kecewa apabila dipimpin oleh Menteri atau pemimpin yang tidak ada kemampuan to ‘make things happen’ dan tidak mampu ‘do the right things’ demi rakyat.
  • Apalah malangnya nasib rakyat semua bahawa kita harus memulakan langkah jaminan bekalan makanan  dengan berpandukan kepada Dasar Agro Makanan, sedangkan kita sudah harus selesaikan masalah ini 10 tahun lepas melalui Dasar Pertanian ketiga Negara. Di sini saya doakan semoga Kementerian dan pemimpinnya  mampu untuk membawa rakyat Malaysia keluar dari kemelut Krisis Makanan Global  kehadapan ini dengan usaha yang sungguh-sungguh untuk melaksanakan strategi atas kertas Dasar Agro Makanan.

WANITA & BAGET PEKA GENDER (Gender Responsive Budget GRB)

  • Pada hari Selasa yang minggu lalu, 8hb Mac kita menyaksikan banyak negara di seluruh dunia bersatu dalam merayakan Hari Wanita Sedunia buat ke100 kali. Bermula dari persembahan hingga perhimpunan secara aman, pertunjukan fesyen dan forum, majlis makan malam dan debat, pelbagai acara berwarna-warni bagi menunjukkan kegembiraan dan pentingnya Hari wanita sedunia ini. Hari Wanita Sedunia tidak hanya untuk merayakan pencapaian wanita, tetapi juga untuk menghantar mesej politik: di mana ketidaksaksamaan masih berlaku dan menjadi kelaziman dalam masyarakat dengan natijah bahawa ramai wanita adalah mangsa kepada ketidakseimbangan ini.
  • Di Malaysia, kita tidak punya banyak untuk dibanggakan. Bagi Gender Empowerment Measure (GEM) 2007/2008, kita di tangga yang 65 dari 93 negara. Untuk Gender Gap Index (GGI) 2007, kita di tangga yang 92 dari 128 negara. Didalam proses membuat keputusan paling tinggi iaitu di Dewan Rakyat. Penglibatan wanita ialah di tahap 10.8 %. Jauh daripada angka 30% yang disasarkan. Malah kedudukan kita lebih kurang sama dengan negara-negara Arab iaitu ditahap 9.6 %. Angka-angka ini menunjukkan bahawa Kerajaan Malaysia, di bawah kepimpinan Barisan Nasional, telah gagal untuk memberdayakan kaum wanita dan gagal mempromosikan kesaksamaan di semua bidang, baik di dalam bidang pendidikan, tenaga kerja, penglibatan dalam politik, kepimpinan dalam GLCs, dan bahkan dalam membuat keputusan dasar.
  • Kurangnya iltizam politik untuk mengarus utamakan gender telah menyebabkan Malaysia ketinggalan, dalam pembangunan dan pertumbuhan. Ianya dikaitkan juga  dengan kelemahan ketara perlaksanaan rancangan Gender Responsive Budget GRB yang dijanjikan. Kita semua tahu bahawa pada tahun 2003, Program Pilot dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan dan dipertanggungjawabkan kepada Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat. Namun, sehingga kini, kita masih tidak melihat sebarang perkembangan yang signifikan.

Ketandusan perkembangan GRB ini berterusan walaupun Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menerima bantuan kewangan dan bantuan teknikal dari United Nations Development Program (UNDP) serta kerjasama daripada empat jabatan pada ketika itu, iaitu dalam Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia, dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, untuk memastikan Program pilot ini merangkumi kedua-dua sektor ekonomi dan sosial

  • Pengakuan bahawa kemajuan dalam perlaksanaan GRB adalah perlahan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah tidak tepat – sebenarnya hampir tiada kemajuan langsung, jika dibandingkan dengan negara-negara lain, antaranya yg lebih rendah pendapatan per kapitanya dari Malaysia (seperti India, Pakistan, Uganda, Filipina). Di peringkat global, lebih dari 90 negara telah terlibat dengan GRB, dan 25 negara daripadanya datang dari negara-negara di Asia-Pasifik.
  • Australia telah menerapkan Gender Responsive Budget pada pertengahan 1980. Afrika Selatan pula pada pertengahan 1990-an. Bahkan Filipina mampu melaksanakan Gender dan Anggaran Pembangunan pada tahun 1996. Baru-baru ini, Nepal memperkenalkan GRB pada tahun 2007.

Malaysia pula, bagaimana?

  • Kementerian  Kewangan telah menerima memorendum daripada Caucus Gender Parlimen,pertubuhan wanita dan juga Kementerian pada pertengahan tahun lepas berkenaan dengan pelaksanaan GRB ini.
  • Kementerian Kewangan juga telah menjemput saya  hadir ke program Focus Grp anjuran Kementerian buat beberapa kali untuk membincangkan isu GRB ini
  • Sehubungan dgn itu saya berbesar hati apabila melihat saranan saya berkenaan pengumpulan data mengikut pecahan jantina sebagai langkah pertama kearah pelaksanaan GRB telah diambilkira.

Jawapan bertulis kepada soalan lisan saya pada  14 mac 2011 (soalan no 65) berkenaan GRB  telah menjelaskan bahawa sudah ada pekelilling dari Kementerian Kewangan bertarikh 14 Januari 2011 kepada Kementerian/Agensi untuk menyediakan Baget 2012 dan 2013 mengikut langkah saranan GRB dan melibatkan pengumpulan data mengikut jantina.

Saya serta NGO wanita yang lain bersedia untuk terus memberikan input berterusan sekiranya ianya di perlukan dimasa hadapan.

Memandangkan Kementerian Wanita GAGAL selama ini, dan Kementerian Kewangan pula sanggup menerima saranan dari pihak Ahli Parlimen pembangkang bolehlah dirakamkan dan iktiraf sebagai inisiatif yang membina demi rakyat. Semoga usaha murni kami untuk sama-sama memberikan input membina negara diiktiraf dan dihargai semua.

PILIHANRAYA KECIL: MEDAN SALAH GUNA KUASA PARTI PEMERINTAH

•  Penggal ini, Negara telah melalui 16 pilihanraya kecil. Perjalanan pilihanraya kecil cukup getir dan perit, kerana pilihanraya kecil adalah merupakan pesta bagi parti pemerintah, dengan segala macam  bantuan jentera kerajaan yang turun untuk membantu memenangkan Barisan Nasional.

  • Sewaktu PRK Kerdau Berita Harian melaporkan Seramai 443 peneroka di Felda Jengka 23 , menerima durian runtuh apabila kerajaan meluluskan rayuan mereka untuk menerima Skim Insentif Tanam Semula Sawit bernilai RM1,000 sehektar setiap peneroka.

Menurut akhbar Berita Harian lagi, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin, berkata kelulusan diberikan Perdana Menteri, dalam satu perbincangan bersamanya dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

“Mereka ini sudah merayu sejak tahun lalu lagi, Perdana Menteri semalam panggil kami dan berbincang. Kemudian beliau (Perdana Menteri) meluluskannya,” katanya kepada pemberita. Katanya, dengan keputusan itu, setiap peneroka terbabit akan menerima sekurang-kurangnya RM4,000 kerana secara purata mereka memiliki kira-kira empat hektar tanaman sawit.

“Apabila sampai tempoh perlu ditanam semula sawit, kita akan berikan insentif ini dengan syarat mereka melakukan proses tanaman semula dengan mengikut panduan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Hamzah berkata, kerajaan dianggar membayar RM1.798 juta di bawah insentif itu.

Akan tetapi setakat kefahaman saya insentif diatas hanya boleh di bayar setelah pokok ditebang atau pokok mati setelah di racun. Jelas pembayaran dibuat sewaktu PRK Kerdau didalam keadaan pokok masih menghijau belum ditebang dan belum mati. Lagipun ianya merupakan permohonan yang telah di tolak beberapa tahun lepas sewaktu harga sawit rendah. Memang merupakan amalan memberi insentif menebang pokok  sewaktu harga sawit rendah. Bukan sewaktu harga sawit tinggi seperti sekarang iaitu RM800 lebih se tan. Tidak ada pula yang saya ketahui   skim insentif MPOB ini untuk memberi sewaktu PRK.  Bukankah ini terang-terang usaha beli undi?

Utusan Malaysia pula melapurkan Kerajaan meluluskan sebanyak RM2.2 juta bagi membaiki semula 131 rumah Projek Awam Kos Rendah (PAKR) di Paya Taram, Kerdau dekat sini yang mengalami kerosakan teruk sejak dibina 15 tahun lalu.

•   Manakala di Jengka 22 pulak tetiba pihak Perdana Menteri teringat kepada duit CES ataupun duit tabungan peneroka yang bertukar menanam dari getah kepada sawit. Ada sejumlah RM13,000 lagi yang tertunggak yang belum di berikan kepada peneroka. RM5,000 telah di bayar sewaktu PRU12. Kesemua jumlah tabungan ialah RM18,000.  Baki duit tabungan itu pun dijanji untuk diberikan dengan syarat, sedangkan duit tabungan itu ialah duit tabungan Peneroka. Mengapa perlu di beri duit tabungan peneroka sewaktu pilihanraya dan bersyarat pula?

BN bukanlah BN  kalau tidak menggunakan kempen seperti sekarang ini. Segala janji ini dibuat semasa tempoh kempen Pilihanraya atau pilihanraya kecil. Kalaulah kerajaan Malaysia cukup prihatin, kenapa ia hanya menunggu pilihanraya kecil untuk memberikan segala durian runtuh.

  • Malangnya SPR tidak punya kuasa untuk menangani laporan berkenaan salah guna kuasa ataupun aduan melibatkan beli undi. Aduan beli undi secara terang terang di PRK Sibu oleh Perdana Menteri yang menjadi mainan di mulut orang awam. “i help you. You help me”  masih tiada apa-apa tindakan. Ini adalah kerana SPR tidak merupakan puncak kuasa organisasi didalam mengendalikan pilihanraya, bukan ‘The Apex of the Organisation’. Ada rasuah kena buat laporan SPRM. Ada keganasan kena buat laporan kepada pihak polis. SPR ibarat ‘a toothless tiger’ Harimau tanpa taring. Kerana hanya mampu menguruskan pilihanraya, tidak benar-benar bertanggungjawab sewaktu pilihanraya.
  • Memang ini yang diinginkan oleh Barisan Nasional untuk terus berkuasa. Semua taktik ini terus membelengu rakyat dengan tipu helah dan terus menerus meletakkan rakyat dalam keadaan terhutang, Ianya tidak membebaskan dan tidak memerdekakan rakyat.
  • Kerana itu lah Pakatan Rakyat akan terus bertegas bahawa SPR wajar diletakkan dibawah Parlimen. Supaya ada satu jawatankuasa khas  ditubuhkan di bawah Parlimen untuk bertanggungjawab terhadap SPR.  Selagi SPR di letak di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan SPR bertuankan Perdana Menteri sendiri, dimana PM tanpa segan silu membeli undi, mana mungkin, harimau SPR akan tumbuh taringnya.

Sekian perbahasan saya keatas titah diRaja DYMM tuanku Agung

Terima Kasih Tuan Yang di Pertua.

Edaran oleh: Fuziah Salleh Media Centre, The Way Forward, fsmediacentre@gmail.com

One Comment leave one →
  1. March 8, 2012 10:28 PM

    hari wanita sedunia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: