Skip to content

Fuziah Salleh: IWD 2011 Speech.Perutusan Hari Wanita Sedunia 2011

March 8, 2011

by FuziahSalleh MediaCentre WayForward on Tuesday, March 8, 2011 at 1:11am

Perutusan Hari Wanita Sedunia 2011

oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Fuziah Salleh

Ahli Parlimen Kuantan

8 Mac 2011

Meningkatkan akses, penglibatan, dan pelaburan

untuk pembangunan Wanita Malaysia

Kebanyakan wanita masih menerima ketidakadilan, diskriminasi dan segala kesulitan hidup mereka secara senyap.   Sebahagian daripada mereka adalah ketua-ketua keluarga yang miskin dan terpinggir, yang berusaha keras untuk memastikan agar anggota keluarga mereka hidup dengan selamat dan sempurna, serta anak-anak mereka memperoleh pendidikan yang terbaik bagi memastikan masa depan yang terjamin.   Sebahagian wanita lain adalah dari golongan profesional, teknokrat, usahawan, intellektual, ahli-ahli politik, kakitangan pengurusan dan pentadbiran di sektor awam dan swasta yang meliputi semua ruang lingkup aktiviti rakyat.   Wanita sedemikian sering berjuang dalam memenuhi tanggungjawab domestik dan karier mereka.   Mereka juga masih kerap menghadapi tekanan, diskriminasi dan kadangkala penderaan seksual dan keganasan domestik.   Justeru, kepentingan dan permasalahan wanita wajarlah senantiasa secara sedar diberi perhatian dan sentiasa diperbaiki kerana wanita adalah aset penting dan tunggak sesebuah negara yang membangun ke arah status negara maju seperti Malaysia.

Tema Hari Wanita Sedunia 2011 : Akses yang Saksama terhadap Pendidikan, Latihan dan Sains & Teknologi :  Ke arah Pekerjaan yang Munasabah untuk Wanita  (Equal Access to Education, Training and Science and Technology: Pathway to Decent Work for Women) seharusnya membuatkan kita terus berfikir dan mencari model penyelesaian, mekanisme, proses pembuatan keputusan, sistem dan dasar pembaikan yang sesuai bagi menghasilkan kesaksamaan yang akan menjamin keadilan sosial kepada wanita.   Ia akan mencapai hasrat usaha pembasmian kemiskinan, diskriminasi serta keganasan terhadap wanita, memperbaiki kesihatan holistik wanita dan dalam menghadapi ancaman HIV Aids dan lain-lain penyakit merbahaya, serta memastikan pembangunan yang lestari untuk kehidupan yang selamat dan aman.

Asas paling utama bagi Malaysia, sebuah negara yang ingin mencapai status negara maju ialah takungan tenaga kerja wanitanya.   Peratusan takungan tenaga kerja wanita di tahap 47% ini perlu ditingkatkan bagi memberi peluang pekerjaan kepada lebih ramai wanita yang berkelayakan dan memerlukan.   Misi Kerajaan Malaysia mestilah memastikan bahawa wanita memiliki kemahiran yang diperlukan dalam mencapai cita-cita mereka, khususnya dalam bidang dan aktivisme pilihan mereka.   Ia melibatkan juga anjakan pemikiran agar pendedahan dan pendidikan dalam bidang sains dan teknologi di buka seluasnya di kalangan wanita di berbagai peringkat, secara formal dan tidak formal, agar ianya menjadi pengaruh positif yang ampuh demi

memudahkan wanita melaksanakan peranan mereka sebagai ibu, isteri, anak, pekerja, aktivis, anggota masyarakat dan warga negara dengan cemerlang dan berkesan.

Akses terhadap pendidikan dan tahap pencapaian rakyat dalam bidang pendidikan adalah menjadi penunjuk utama dalam aras pertumbuhan ekonomi dan reformasi sosial.   Pendidikan adalah asas dalam usaha pemberdayaan wanita (women’s empowerment).   Kajian dan model-model dalam pendidikan terhadap wanita di dalam dan di luar negara membuktikan bahawa pelaburan pendidikan terhadap wanita telah melipatgandakan kesan kesejahteraan terhadap keluarga mereka, masyarakat dan negara.

Pendidikan sains dan teknolgi adalah sebahagian dari sistem pendidikan mana-mana negara.   Dalam era globalisasi yang dipacu oleh ekonomi berlandaskan ilmu pengetahuan,  keperluan terhadap takungan tenaga kerja yang berilmu pengetahuan menjadi imperatif.   Ia memastikan bahawa tenaga kerja yang sedemikian mampu mengaplikasikan teknologi yang sedia wujud dan mencipta inovasi sains dan teknologi ke arah membasmi kemiskinan dan mampu menghadapi cabaran dalam isu-isu seperti perubahan iklim dan persekitaran.   Justeru, kemahiran dan keupayaan wanita dalam bidang sains dan teknologi adalah suatu keutamaan dalam sistem ekonomi negara.   Ia juga memastikan bahawa wanita akan lebih cekap dan efektif dalam membuat keputusan-keputusan yang berkaitan dengan aspek-aspek kritikal kehidupan mereka, yang merangkumi soal spiritual, kesihatan, pendidikan anak-anak dan keluarga, relasi lelaki-wanita, kewangan, dan proses-proses pembuatan keputusan yang akan mengesani kehidupan mereka menerusi sistem pentadbiran, politik dan belanjawan negara.

Bajet gender, yang boleh dikatakan mempunyai hasrat yang sama dengan bajet berasaskan keberhasilan (OBB) yang baru-baru ini diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia, yang telah terlalu lama ditunda perlaksanaan sepenuhnya dalam pentadbiran Kerajaan Malaysia adalah  instrumen politik yang sangat berkesan ke arah mempercepat Agenda Pemberdayaan Wanita Malaysia dan dalam mencapai keadilan sosial.

Malaysia memerlukan pemimpin negara, khususnya pemimpin wanita, yang memahami isu-isu wanita dan menggunakan kedudukan mereka mengarus utamakan gender (gender mainstreaming) agar berlaku keadilan dan kesaksamaan gender yang menjadi batu asas berlakunya keadilan sosial.

Laporan Jurang Gender Global 2010 yang dikeluarkan oleh World Economic Forum 2010, meletakkan Malaysia dalam kedudukan ke-98 daripada 134 negara, di belakang kesemua negara Asia Tenggara  dan juga negara-negara seperti Mongolia, India, Bangladesh, Zimbabwe dan Brunei Darussalam.   Indeks Jurang Gender bagi Malaysia pada 2010 ialah 0.6479 berbanding 0.6509 pada tahun 2006.   Walaupun akses wanita Malaysia dalam bidang pendidikan adalah tinggi (indeks: 0.9899) dan mampu menyediakan takungan wanita yang berkaliber dan berkemahiran dalam berbagai bidang, namun ia tidak dicerminkan dalam pencapaian bidang-bidang lain dan peringkat-peringkat pentadbiran/pengurusan di sektor awam dan swasta.   Ia jelas menunjukkan berlakunya jurang gender (diskriminasi), ketiadaan koordinasi, dan usaha yang bersepadu serta kehendak politik (political will) yang diperlukan dalam meningkatkan penglibatan wanita dengan lebih berkesan.

Penggemblengan majoriti wanita Malaysia adalah juga suatu kemestian dan tanggungjawab ini wajar dilaksanakan oleh parti-parti politik, organisasi masyarakat sivil (NGO, ahli-ahli akademik, aktivis sosial) dan Kerajaan yang tulus dalam menyaksikan golongan wanita sebagai rakan kongsi, dalam mengolah dan menetapkan halatuju rancangan masa kini dan masa depan negara serta mencipta sejarah Malaysia yang dibanggakan.   Penggemblengan itu menuntut kewujudan pra-syarat keadilan sosial, iaitu demokrasi tulen yang meletakkan ciri-ciri tata kelola baik dan ketelusan sebagai pembuka ruang dan arena ke arah memakmurkan musyawarah dalam proses pembuatan keputusan dan amalan kebebasan informasi yang diperlukan dalam menjadikan penglibatan wanita itu suatu budaya yang berakar umbi dalam masyarakat dan negara.

Sekian lama Wanita Malaysia menghadapi kekecewaan yang berterusan kerana jurang yang luas dan serius di antara dasar-dasar  negara dan perlaksanaannya.   Dokumentasi yang jelas, terperinci dan bijak bahasanya sama sekali tidak memberi apa-apa makna dan kesan positif yang besar kepada Wanita Malaysia .   Kerajaan Malaysia perlu dengan serta-merta, kerana ia berkuasa dan mampu, mengambil langkah-langkah proaktif mengimplimentasikan Dasar Wanita Negara dan sekelian pelan-pelan tindakan yang telah di kemaskini dan dilengkapkan bagi membuktikan keazaman dan kesediaannya untuk menjadikan segala dasar dan perancangan itu suatu realiti.   Kegagalan berbuat demikian bererti menganggap enteng dan menafikan hak 50% penduduk Malaysia.

Justeru, dengan lebih terpimpin dan tersusun, Wanita Malaysia wajar bersama-sama, seiring melangkah menghadapi segala cabaran,

Selamat menyambut Hari Wanita Sedunia 2011.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: