Skip to content

Whistleblower Protection Act 2010 enforced 15 December 2010

December 6, 2010
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat Dikuat Kuasa 15 Disember Ini – Idris Jala


Written by FoN on Tuesday, 30 November 2010 01:07
KUALA LUMPUR – Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang digubal untuk mengekang rasuah akan dikuat kuasa pada 15 Dis ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala. 

Beliau berkata maklumat terperinci mengenai kandungan akta itu akan diumumkan pada 6 Dis ini.

“Tarikh 6 Dis ini akan menjadi detik bersejarah buat Malaysia kerana untuk pertama kalinya kerajaan akan mengumumkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang telah diluluskan. Kemudian ia akan dikuat kuasa pada 15 Dis ini,” katanya kepada Bernama, di sini malam Isnin.

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (PEMANDU), berkata akta tersebut digubal berasaskan akta serupa di beberapa negara seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Pengalaman di Amerika Syarikat dan Eropah menunjukkan kegiatan rasuah berkurangan (selepas pelaksanaan akta) kerana ia merupakan langkah pencegahan.

“Apa yang penting ialah orang ramai tahu akta perlindungan wujud. Kita juga ada akta perlindungan saksi. Bukan saja kita melindungi pemberi maklumat tetapi juga saksi,” katanya.

Idris berkata di bawah akta itu, mereka yang mempunyai bukti mengenai pihak tertentu melakukan rasuah atau penipuan boleh membuat aduan mengenai pihak terbabit.

“Pemberi maklumat akan dilindungi daripada segi kerahsiaan dan identitinya akan dijaga rapi oleh undang-undang,” katanya.

Ditanya sama ada pemberi maklumat akan diberi ganjaran, beliau berkata terdapat cadangan sedemikian namun ia belum dibincangkan.

“Kami baru saja mewujudkan (akta) perlindungan. Kebanyakan negara cuma memberi perlindungan dan tidak ada ganjaran. Tetapi kita melihat kemungkinan menyediakan mekanisme ganjaran,” katanya.

Ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen pada Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat akan digubal untuk menggalakkan pemberi maklumat mendedahkan kegiatan rasuah dan lain-lain bentuk penyelewengan.

Najib berkata langkah itu akan memastikan pemberi maklumat diberi imuniti daripada tindakan sivil atau jenayah.

Penggubalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat adalah antara langkah yang diambil dalam pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi menghapuskan rasuah.

Akta tersebut dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada April sebelum dibawa dan diluluskan di Dewan Negara pada Mei lepas.

Sumber : BERNAMA

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: