Skip to content

Wan Azizah: “Menjunjung Reformasi Membela Rakyat”

November 28, 2010

UCAPAN DASAR PRESIDEN
“Menjunjung Reformasi Membela Rakyat”
Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail
Presiden, Parti Keadilan Rakyat ( KEADILAN )
Kongres Nasional Tahunan ke-7 2010
Petaling Jaya, Selangor.
UCAPAN ALU-ALUAN
1. Selamat datang ke Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat Kali Ke Tujuh pada tahun
ini. Pada Kongres ke enam yang lalu, kita bertandang di Kota Bharu. Kali ini, kita
merasa cukup bertuah kerana kita diterima pula sebagai tetamu Selangor Darul Ehsan
pula. Perhimpunan kali ini, adalah bagaikan kembalinya semula kita ke pengkalan.
Selepas melalui pelbagai pertempuran di pelbagai medan, kita berkumpul kembali di sini,
memperkemas dan mempersiap diri menghadapi pertempuran baru yang akan
mendatang. Kita rakamkan jutaan terima kasih atas kesudian Negeri Selangor di bawah
kepimpinan YAB Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana sudi menerima kita
di sini. Alhamdulillah, beliau telah berjaya mengangkat martabat negeri, membuat
pelbagai perubahan dan penambahbaikan pengurusan, memberi keselesaan kepada
rakyat dan seterusnya berjaya mempertahankan Negeri ini ditangan Pakatan Rakyat
sehingga ke hari ini. Paling utama, Selangor adalah kubu utama Parti Keadilan Rakyat.
Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih.
MENITI KEMATANGAN PERJUANGAN
2. Usia Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) masih muda. Ia baru sahaja meraikan
ulangtahun ke 12 sejak ditubuhkan pada 4 April 1999. Namun, dalam usia semuda ini,
kita telahpun mencapai banyak kejayaan yang diluar dari kebiasaan. Bersama-sama
dengan Pakatan Rakyat, kita telah berjaya menawan 5 buah negeri dan menafikan
majoriti 2/3 Barisan Nasional dalam PRU 12 yang lalu. Dalam usia semuda ini, kita
telah bergerak pantas mewarnai iklim politik negara secara drastik. Maka itu, usahlah
kita gundah dan gulana dengan segala pancaroba. Demi perjuangan menegak keadilan,
kita perlu terus melangkah dan mara. Membujur lalu melintang patah. Perjuangan
membela rakyat perlu terus membara.
3. Sesungguhnya, di tahap ini, kita masih berada di peringkat awal dalam kelok
pembelajaran (the learning curve), dalam perkembangan menuju kemantapan dan
kematangan. Apatah lagi khususnya, kita ini adalah sebuah parti politik. Fitrah setiap
‘learning curve’ adalah pengalaman jatuh bangun dan naik turun. Setiap kali jatuh, kita
perlu terus bangun, menilai dan memperbaiki kelemahan. Kemudiannya, segera terus
melangkah kehadapan secara lebih berani dan berkeyakinan. Inilah yang dinamakan
“sunnanul kaun” atau “the law of nature”. Jatuh dan silap dalam mengatur langkah tidak
perlu dijadikan kesalan. Tidak perlu kita menjadi pesimis melulu hingga melupakan
hakikat potensi untuk menjadi lebih baik di masa hadapan.
4. Sesungguhnya, perjuangan dan cita-cita kita adalah amat besar. Demi membela nasib
rakyat, kita ingin membina budaya baru dalam politik negara. Justeru, reformasi dan
perubahan dimulakan dalam diri kita dahulu. Martabat setiap ahli diangkat tinggi.
Setiap ahli diberi peluang sama rata untuk bersuara dan memberikan sumbangan. Maka
kita secara berani meluluskan dasar Satu Anggota Satu Undi dalam menentukan barisan
kepimpinan. Tiada suatu parti lain di negara ini dan di Asia Tenggara yang berani
melakukannya. Malah kita memulakannya di saat pihak musuh begitu fobia dengan
demokrasi. Keadilan bergerak cergas menyuburkan demokrasi. Disebaliknya, UMNO
dan BN tanpa segan silu berterusan merencatkan demokrasi. Seluruh agensi dan
aparatus yang boleh memperkasakan demokrasi telah dikembirikan. Pelbagai akta
menyekat kebebasan rakyat terus diwujud dan dilaksanakan. Semua ini dilakukan demi
mengekalkan jaminan mereka terus berada di tampuk kekuasaan dan meneruskan
penindasan dan kezaliman kepada rakyat.
5. Alhamdulillah, demi memenuhi tekad merealitikan demokrasi dalam Parti, kita baru
sahaja selesai mengadakan pemilihan kepimpinan Parti di peringkat Cabang dan Pusat.
Sesungguhnya, perlu kita akui bahawa umumnya pemilihan tersebut telah mencapai
matlamatnya. Lebih 70,000 orang ahli parti telah melibatkan diri dan keluar mengundi.
Percubaan pertama ini sudah pastilah ada kelemahannya. Terpulang kepada kita untuk
menafsirkan. Adakah kelemahan itu sebagai kegagalan atau peluang. Jika kita tidak
berani memikirkannya secara positif, sehingga bila kita boleh berkembang dan maju ke
hadapan? Lebih baik melakukan sesuatu yang tidak sempurna dari tidak berbuat apa-apa
yang sudah pasti tidak cacat. (Better to do something imperfectly than to do nothing perfectly,
Robert H Schuller). Sekian lama kita mahukan demokrasi sebenar, maka kita perlu
mulakan dengan diri kita dahulu (You must be the change you want to see in the world, Mahatma
Ghandi).
6. Pemilihan ini telah meningkatkan kematangan kita dalam amalan demokrasi. Ahli-ahli
KEADILAN telah mempamerkan keupayaan menilai, membicarakan dan memilih
barisan kepimpinan yang sesuai. Kita semua telah berjaya melalui pelbagai ujian dan
cabaran psikologikal – mental, fizikal, emosional dan rohaniah. Untuk itu saya ingin
merakamkan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada anda semua di semua
peringkat dan lapisan.
BERSAMA KONGSI KEMENANGAN
7. Dengan kejayaan ini, marilah bersama kita menginsafi suatu hakikat. Sesungguhnya,
tiada siapa yang kalah. Kesemua kita adalah pemenang. Saya ulangi: Kesemua kita adalah
pemenang. Yes, we all are the winners!!! We all are the winners!!! Yang tewas adalah musuhmusuh
kita. Merekalah sebenarnya yang gagal. Yes, they are the losers!!! Terbukti merekalah
yang gagal melaksanakan demokrasi sebenar dalam parti mereka sendiri. Mereka juga
telah gagal untuk melihat parti kita gagal melaksanakannya. Mereka harus berasa malu
dengan diri.
8. Bagi mereka yang dianggap menang perlu bersama menginsafi bahawa kepimpinan
adalah merupakan suatu amanah. Kepimpinan adalah taklif (tanggungjawab) bukan
tasyrif (kemuliaan). Kegagalan melaksanakan amanah akan menatijahkan hukuman yang
amat berat di sisi Tuhan. Sehubungan ini, Nabi Muhammad SAW pernah menasihatkan
seorang sahabat, Abu Dzar Al-Ghiffari:
“Sesungguhnya ia (kuasa) adalah amanah. Dan pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan
penyesalan, kecuali bagi yang mengambilnya sesuai dengan haknya dan melaksanakan apa yang
menjadi tuntutannya”. (Hadis riwayat Muslim).
Baginda juga pernah bersabda:
“Apabila amanah itu dilenyapkan, maka tunggulah datangnya kiamat.” Ditanya kepada baginda,
“Wahai Rasulullah, bagaimana melenyapkan amanah itu?” Rasulullah bersabda: “Apabila
amanah itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya kemusnahan!”
9. Hakikatnya, rakan-rakan kita yang dianggap tidak menang juga telah memberikan
sumbangan besar dalam mengangkat martabat parti kita ke mercu lebih tinggi. Mereka
sebenarnya telah memberi jasa besar melibatkan diri bertanding dan membuatkan anda
menang. Justeru, siapa jua yang di anggap pemenang perlulah menghargai rakan-rakan
lain yang dianggap kalah. Ayuh, mari kita bersama-sama berkongsi kemenangan itu.
Tanpa mengira siapa, kesemua kita perlu memiliki psikologi pemenang dalam
menghadapi PRU 13 akan datang.
MENJANA SAF PERJUANGAN
Saudara-Saudari yang dikasihi sekalian,
10. Proses pemilihan telahpun selesai. Tanpa kecuali, tiada siapa di antara kita yang dapat
mengelak diri dari amanah besar bersama mengemudi parti ini dalam menghadapi PRU
13 akan datang. Posisi dan peranan kita mungkin berbeda. Namun, natijah kita perlu
sehala. Tanggungjawab kita amat berat, sumber yang ada pula amat terhad. Lantaran itu,
kesemua pemimpin yang telah dipilih di setiap peringkat perlu memanfaatkan setiap
sumber yang kita miliki. Potensi setiap ahli perlu digembeling dan diperkasakan tanpa
mengira kelompok dan kabilah. Kepentingan Parti perlu lebih diutamakan berbanding
dengan kabilah dan diri sendiri. Jangan biarkan apa yang ada di kendong keciciran dan
yang dikejar belum tentu dapat. Jagalah dan perihatinlah kepada setiap ahli dan rakan di
sekeliling kita. Merekalah saudara seperjuangan kita. Terimalah mereka semua seadanya
untuk dibaja, dipupuk dan dikembangkan.
11. Sesungguhnya, tiada siapa antara kita yang sempurna. Justeru bersamalah
memperkasakan silaturrahim dan perhubungan yang ada. Sehubungan ini, setiap
cabang dan ranting perlu diperkasakan dengan memperbanyakkan program-program
yang dapat meningkatkan keprihatinan rakyat dan semangat kerja berpasukan. “TEAM:
Together Everyone Achieve More.” Bersamalah semarakkan ruh muafakat sesama kita supaya
ia menjadi teladan setiap ahli di peringkat bawahan. Ia juga akan melonjakkan keyakinan
dan penghormatan rakyat kepada parti kita yang dicintai ini.
12. Dikesempatan ini juga, kita perlu memberikan penghargaan dan merakamkan terima
kasih kita kepada pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat yang diketuai Dr. Molly Cheah
dengan dibantu oleh seluruh pasukan tenaga jenteranya, atas kerja keras dan kejayaan
menguruskan agenda besar menjayakan demokrasi dalam parti kita ini. Kita juga ingin
merakamkan penghargaan yang sama kepada Sekretariat Pengurusan yang diketuai
Setiausaha Agung Sdra Saifuddin Nasution, bersama para pembantu beliau, yang turut
memberikan dokongan dalam melaksanakan misi ini. Mata yang memandang sudah
tentu tidak seberat bahu yang memikul.
13. Dalam melaksanakan proses pemilihan ini, memang banyak juga aduan dan rungutan
telah diterima. Ada yang berpandangan bahawa siapa yang menang tidak penting. Apa
yang lebih penting adalah proses pemilihan yang adil. Wujud juga persepsi bahawa JPP
tidak bertindak pantas terhadap rungutan yang kukuh. Semua pandangan seperti, kita
sedia menerimanya secara terbuka. Kita juga bersedia sebarang maklumbalas dan
cadangan penambahbaikan. Bagi kes yang jelas dengan bukti yang nyata, kita telahpun
bertindak melakukan siasatan. Sudah pasti ini semua akan memakan masa. Kita juga
tidak boleh menghukum sesiapa hanya melalui tuduhan-tuduhan yang lemah asasnya.
Kita yang memperjuangkan keadilan perlu juga berlaku adil dalam menghukum rakanrakan
kita sendiri.
14. Oleh itu, andai ada sebarang ketidakpuasan, gunakan saluran Parti untuk dileraikan.
Usah serahkan tengkok kita kepada pihak media musuh dengan mendedahkan
kelemahan kita. Biar membara di hati, tetapi tetap dingin di kepala (Bapak Muhammad
Natsir). Selesaikanlah masalah kita bagaikan menarik rambut dalam tepung, rambut jangan
putus dan tepung jangan berselerak. Sesungguhnya, setiap diri kita tidak penting. Parti ini
adalah lebih penting. Parti ini adalah sandaran seluruh rakyat segala lapisan yang
memerlukan pembelaan. Kita tidak rela sama sekali melihat Parti ini lemah dan hancur.
Andai terdapat sebarang bukti kukuh terdapat amalan yang melanggar dasar dan
peraturan, tanpa mengira waima siapa, kita akan bertindak tegas.
IDEALISME DAN TERAS PERJUANGAN
15. Setiap orang di antara kita wajar menyemak, melihat kembali helaian sejarah parti ini
yang berdiri atas pengorbanan, keringat dan air mata rakyat. Parti ini “parti rakyat”.
KEADILAN mempunyai asas-asas perjuangan yang jelas. Tujuh belas asas perjuangan
kita, adalah amat mulia dan keramat. Siapa jua yang ingin menganggotai parti ini perlu
memahami dan menghayati idealism perjuangan kita ini. Jika belum lagi, kita takut nafas
perjuangan kita dalam Parti ini akan menjadi pendek. Hanya dengan sedikit dugaan dan
cabaran, kita bakal kecundang dan tersungkur di tengah jalan.
16. 12 tahun yang silam, semasa KeAdilan ditubuhkan, musuh sering memperlekeh kita.
Kata mereka: “KEADILAN, parti berbilang kaum (multi-racial party) takkan berjaya…”
Apa yang terjadi kini adalah sebaliknya. Ternyata hari ini, KEADILAN muncul sebagai
parti berbilang kaum yang digeruni. Sesungguhnya, sedari mula kita amat percaya
kepelbagaian adalah suatu keindahan dan kekuatan. Kita percaya bahawa kepelbagaian itu
adalah suatu rahmat dan gambaran kebesaran Tuhan. Anugerah besar Tuhan ini tidak
boleh sama sekali disesiakan. Maka itu, fahaman dan amalan ala-penjajah yang
mengamalkan sistem pecah dan perintah melalui agama dan perkauman perlu
dilenyapkan dari bumi tercinta ini. Kita juga pernah dilabel sebagai parti nyamuk.
Ternyata hari ini kita bagaikan sarang tebuan yang mampu menyerang dan menyengat.
Mungkin kerana amat gementar, pemimpin mereka melaungkan kata-kata akan
mempertahan Putrajaya walaupun dengan darah dan nyawa.
17. Hakikatnya, dalam mengamalkan demokrasi, mereka telah tercicir jauh di belakang.
Maka, untuk menutup kelemahan, maka diwujudkan dasar keanggotaan terus, demi
menyaingi dasar kepelbagaian kaum kita. Kita sebenarnya sedang mendepani zaman
dengan idea-idea politik baru. Mereka mencela kita didepan serta cemburu dan dendam
kesumat di belakang. Maka itulah, kita hari ini diserang setiap waktu dan saat. Kalaulah
kita ini memang benar-benar lemah seperti yang digembar-gemburkan, apa perlunya kita
dipedulikan? Percayalah, mereka menyerang kerana KEADILAN ini adalah sebuah
parti yang kuat dan gagah membelah lautan politik negara.
TONGGAK REFORMASI RAKYAT
Saudara-saudari yang dikasihi,
18. Mereka amat menyedari bahawa KEADILAN dan pemimpin utamanya Saudara Anwar
Ibrahim adalah faktor ancaman paling membahayakan kedudukan dan survival mereka.
Dalam sejarah politik tanah air, tidak pernah wujud pemimpin dan parti lain yang dapat
menggugat mereka separah hari ini, melainkan KEADILAN dan Saudara Anwar
Ibrahim. Maka itu, mereka sentiasa berusaha mencari jalan tanpa henti bagaimana Parti
kita dan Pakatan Rakyat dapat dihancurkan. Mereka pernah cuba melaga-lagakan para
pemimpin Parti kita dan rakan-rakan kita PAS dan DAP. Setakat ini, mereka ternyata
telah gagal. Malah, gabungan Pakatan Rakyat semakin kukuh dan mantap. Pakatan
Rakyat wujud sebagai pembangkang terkuat dalam sejarah politik negara sehingga hari
ini. Kemuncak muafakat pakatan ini adalah kejayaan mengemukakan dasar bersama
pada 19 Disember 2009 yang ditandatangani bersama oleh pimpinan-pimpinan utama
ketiga-tiga Parti yang berkaitan. Sejak dari itu, Pakatan Rakyat tidak mampu digugat lagi
dan terus meluncur ke hadapan. Inilah yang cukup menggerunkan musuh kita.
19. Selepas ternyata gagal dan kecewa untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat, mereka
kembali kepada strategi lama mereka iaitu dengan meneruskan percubaan untuk
melumpuhkan parti kita ini. Mereka pernah berjaya dengan strategi ini untuk menyekat
reformasi rakyat pada tahun 1998. Mereka percaya bahawa cara mudah untuk
membunuh KEADILAN adalah dengan melangsungkan fitnah dan serangan terhadap
Penasihat Parti, Saudara Anwar Ibrahim.
20. Serangan-serangan mutakhir terhadap Saudara Anwar Ibrahim dari segi sahsiah dan
kerjaya politik menampakkkan satu usaha bersepadu dibawah naungan satu dalang.
Faktor Saudara Anwar Ibrahim menjadikan mereka merasa cukup derita dan sengsara
hingga dihinggapi kebimbangan, kerisauan dan ketakutan yang tidak menentu.
Hakikatnya, mereka amat takut akan kehilangan segala kuasa dan rahsia penyelewengan
dan salah guna kuasa yang tersorok bakal terbuka.
21. Jelaslah kesemuanya itu adalah kerana kewibaan kepimpinan DSAI yang terserlah sejak
zaman remajanya lagi. Beliau sentiasa dikenali sentiasa bersifat amanah, tegas dan
berani. Beliau juga tidak mementingkan diri dan sentiasa istiqamah (consistent) membela
rakyat termiskin (mustad’afin). Ketrampilan kepimpinan beliau juga amat disenangi
kesemua lapisan rakyat merentasi kaum, agama, dan budaya. Lebih jauh ketokohan
beliau telah diterima dengan cukup baik di peringkat antarabangsa sejak seusia muda
beliau lebih 4 dekad yang lalu. Justeru, dalam ketika Negara kita sedang berhadapan
dengan krisis keyakinan kepimpinan dan imej Negara yang terus menjunam, maka
kepimpinan beliau terus diperlukan.
22. Apa yang tidak pernah di alami oleh Saudara Anwar? Ditangkap, di ISAkan, dipukul,
disiksa, diaibkan dan dihumban ke penjara. Sejak merdeka, tidak pernah ada tokoh
negara lain yang difitnah, dihina dan disiksa secara berterusan seperti yang dialami
Saudara Anwar. Namun, beliau tetap gagah dan tabah meneruskan perjuangan bersama
kita. Apakah rahsia sebenar hingga beliau tetap kental sehingga ke hari ini. Jawapan
saya adalah Saudara Anwar Ibrahim adalah seorang insan hebat yang memang di
anugerahkan Tuhan untuk kita semua untuk menjadi pemimpin rakyat. Jika beliau insan
biasa seperti kita, sudah lama mengundur dan tenggelam di celah segala cabaran dan
gelora yang berlalu.
23. September 1998 memang menjadi titik hitam kepada keluarga saya. Namun,
Alhamdulillah di sebaliknya, seluruh rakyat Malaysia telah bangkit menghulurkan tangan,
memberikan dokongan. Itulah titik peralihan cerah susur galur politik negara. Lebam
mata Saudara Anwar, menjadi simbol terbukanya mata rakyat Malaysia dengan
cengkaman dan kezaliman penguasa. Pukulan ganas yang mencederakan Saudara Anwar,
telah menyentak anak-anak muda negara. Sengsara saya dan anak-anak, diganti dengan
kegembiraan melihat lahirnya satu gerakan rakyat yang berterusan mendepani
perjuangan mengangkat maruah bangsa dan negara.
24. Makanya, terbentuklah gerakan reformasi yang menyatukan pelbagai kaum, anutan,
daerah, fahaman dan latar pengalaman. Kita disatukan oleh keinginan menyelamatkan
negara dan keazaman mengembalikan maruah rakyat. Apabila parti ini ditubuhkan
sebagai wadah perjuangan itu, ada yang bersama di dalam, tetapi ramai juga yang
berjuang di luar. KEADILAN juga didokong oleh pelbagai NGO dan para bloggers
yang turut terlibat membantu berjuang menurut cara masing-masing. Hakikatnya parti
ini lahir dari gerakan reformasi rakyat dan relevan kita berkait langsung dengan roh
reformasi rakyat.
25. Justeru, simbolisme KEADILAN dan gerakan reformasi adalah umpama akrabnya
Saudara Anwar dengan gerakan rakyat. Beliau bukan sahaja pemimpin kita di dalam
KEADILAN, yang lebih penting beliau adalah pimpinan yang diangkat oleh rakyat baik
di dalam KEADILAN, PAS, DAP hatta tidak berparti sekalipun.
26. Marilah bersama kita sedari bahawa KEADILAN ini bukanlah sebuah parti politik biasa;
yang perjalanan dan urusannya hanyalah milik anggota rasminya sahaja. KEADILAN
adalah milik dan simbol gerakan reformasi. Maka, sebagai seorang anggota
KEADILAN kita harus menyedari simbolik ini. Setiap rakyat yang inginkan perubahan
dan mahukan pembelaan memberikan perhatian kepada KEADILAN. Justeru, kita perlu
berhati-hati dalam segala langkah dan kata. Jika kita silap percaturan dan rakyat
mendapat persepsi yang mengecewakan, dokongan dan sokongan mereka mungkin akan
hambar dan beralih. Ini perlu menjadi perhatian serius kita bersama.
BANGSA BERMARUAH
Saudara-saudari sidang Kongres sekalian,
27. Saya, sebagai seorang Melayu yang beragama Islam, berkeyakinan bahawa tidak akan ada
satu bangsa pun yang akan menjadi agung dan dihormati hanya apabila menggelar diri
sendiri sebagai “tuan”. Kitab al-Quran banyak mengisahkan bagaimana Tuhan telah
menghancurkan kaum dan bangsa-bangsa yang bermegah-megah konon menjadi “tuan”
dan memandang rendah kepada bangsa atau kaum yang lain. Sesungguhnya, semuliamulia
di sisi Tuhan adalah mereka yang paling tinggi taqwanya (amalan baik dan
kebajikannya kepada insan lain). Nyatalah bahawa sesuatu bangsa dan kaum itu hanya
akan menjadi agung dan dipandang tinggi apabila mereka bermaruah. Lalu, andai
sesuatu bangsa itu mahu besar, mereka harus memelihara dan menjaga maruah mereka
termasuk kepada orang Melayu.
28. Sebenarnya, dalam tradisi orang Melayu, mereka amat menyedari kepentingan menjaga
maruah diri supaya dipandang tinggi oleh orang lain. Mari kita merenung sejenak
beberapa ungkapan pantun klasik di bawah:
a. Tenang-tenang air laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung
b. Kapal belayar dari Arakan
Ambil gaji jadi jemudi
Mati ikan kerana umpan
Mati saya kerana budi
c. Jika belayar ke tanah Aceh
Singgah dulu di kota Deli
Jika hendak orang mengasih
Hendaklah baik bicara budi
d. Bunga melati bunga di darat
Bunga seroja di tepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi
e. Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi darjat kerana bahasa
f. Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik di kenang juga
g. Cuaca gelap semakin redup
Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup
Barulah kekal dihormati orang
h. Tuan Puteri membeli ginseng
Singgah di pasar mencari kari
Jangan ikut budaya samseng
Kelak menyesal di kemudian hari
29. Justeru itu, konsep “Ketuanan Melayu” ini wajib dibakul sampahkan; supaya anak-anak
kita membesar dengan visi “Bangsa Bermaruah” atau “Melayu Bermaruah”. “Ketuanan
Melayu” adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa
untuk memperdaya orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri. Mereka
adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan
lagi.
30. Selama 53 tahun mereka berkuasa, nasib Melayu dan bumiputera, masih tetap terabai.
Orang Melayu dan Bumiputera sedang mengalami nasib hidup yang sangat
menyedihkan. Mereka sedang dilanda masalah sosial, pendidikan, ekonomi dan budaya
kehidupan yang membimbangkan. Kuota 30 peratus penguasaan ekuiti Melayu-
Bumiputera gagal dicapai. Daripada RM54 bilion ekuiti dan saham untuk bumiputera,
hanya RM2 bilion kekal di tangan. Di Semenanjung, di Sabah dan di Sarawak, kelompok
paling miskin, dhaif dan terbiar melarat, adalah kaum bumiputera. Buruh bumiputera di
Batu Sapi, hanya dibayar RM9.50 untuk kerja mereka selama sehari. Malah, bagi setiap
empat keluarga yang pendapatan isi rumahnya kurang dari RM2,000 setiap bulan, tiga
keluarga itu adalah keluarga Melayu.
31. Kerajaan Umno-Barisan Nasional juga tidak mempedulikan nasib dan kedudukan Orang
Asli di Semenanjung Malaysia. Kehidupan mereka masih terbiar dan tidak mendapat
perhatian dan pembelaan sewajarnya. Kedhaifan hidup mereka bagai sengaja dirancang
untuk dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu di saat dan ketika yang mereka perlukan.
Tidak ada langsung peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin
kepentingan merupakan kaum pribumi di negara ini. Kedudukan mereka tidak terjamin
kerana hak mereka tidak dimasukkan dalam tafsiran Perkara 153 dan Perkara 160
Perlembagaan Persekutuan. Fasal (2) Perkara 160 hanya menafsirkan Orang Asli adalah
Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu manakala dalam artikel 153 Perlembagaan
Persekutuan, ianya hanya merangkumi Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak
sahaja. Kita berjanji akan mengambil satu tindakan yang berani dan bertanggungjawab
untuk menjamin kedudukan Orang Asal ini dalam kerangka keupayaan kita.
32. Semua ini membuktikan bahawa para pemimpin UMNO bukan berjuang untuk
membela orang Melayu. Parti itu hanya berminat untuk menjaga kepentingan tauketauke
tertentu. Umno adalah “parti tauke” dan jauh sekali untuk berwajah sebagai “parti
rakyat”. Maka itu, KEADILAN dan Pakatan Rakyat adalah pilihan terbaik untuk semua
orang Melayu dan seluruh rakyat.
KEADILAN PENYELESAI ISU SURVIVAL MELAYU & ISLAM
33. UMNO yang bernafas lama hasil luapan sentimen perkauman ini amat menyedari
bahawa kedudukan politiknya kini semakin terdesak dan terancam. Sokongan orang
Melayu terutamanya generasi muda semakin menurun. Gelombang sokongan orang
bukan Melayu, rakyat Sabah dan Sarawak pula kini sudah beralih ke Pakatan Rakyat.
34. Sesungguhnya, mereka telah gagal melaksanakan amanah rakyat untuk membina negara
Malaysia yang bermaruah, mempamerkan keadilan Islam, menerapkan ajaran Islam dan
gagal memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan. Perlaksanaan undang-undang
kerajaan sentiasa tidak konsisten dan berubah-ubah mengikut selera mereka. Cara
UMNO mengendalikan isu penggunaan kalimah Allah begitu menjelikkan hingga
menjadi bahan jenaka masyarakat tempatan mahupun antarabangsa. Judi sukan yang
jelas haram menjadi halal demi memperkayakan mereka yang sudah kaya dan
menjadikan rakyat yang miskin semakin papa kedana. UMNO tidak pernah
mempedulikan kedudukan hukum qazaf. Mahkamah syari’ah dipersendakan mengikut
kehendak pemimpin politik mereka.
35. UMNO ditolak rakyat bukan kerana perpecahan kepimpinan Melayu. UMNO ditolak
hasil dari segala kemungkaran dan kezaliman diri mereka sendiri. Perjuangan para
pemimpin UMNO bukanlah untuk menegakkan agama dan keadilan kepada rakyat. Asas
perjuangan mereka adalah kecintaan kepada dunia dan ketakutan kepada mati. Amalan
rasuah, kronisme, penipuan, khianat, memfitnah sesama sendiri dan jatuh menjatuhkan
merupakan suatu kemestian demi merebut dan mengekalkan kuasa. Dana dan sumber
negara di mana jua akan diperah, di ‘faraid’ dan dikhianati semahunya dengan pelbagai
cara. Tabung simpanan felda susut teruk dan yang terbaru ini harta Petronas pula
sedang dikeringkan. Seluruh instrumen pentadbiran negara telah dikembirikan. Ekonomi
negara menguncup teruk dan para pelabur menjauhkan diri dari kita.
36. Kehidupan rakyat semakin tertekan dan tersepit. Lantaran itu, demi survival diri, tanpa
segan silu politik Michevelli yang dianuti selama ini dimanfaatkan. Maka, isu survival
orang Melayu dan agama Islam dikumandangkan sebagai strategi perang psikologi
memecahbelah Pakatan Rakyat. UMNO sengaja menjadikan rakyat Malaysia yang terdiri
dari kalangan masyarakat majmuk menjadi keliru, bimbang dan cemas. Keadaan kritikal
ini menjadikan rakyat merasa terancam, semangat toleransi menjadi ‘fragile’ dan akhirnya
melarat kepada krisis dan ketegangan agama dan kaum yang berpanjangan. Fenomena
seperti inilah yang mengupayakan UMNO masih mampu meneruskan nafasnya sehingga
ke hari ini.
37. Hakikatnya, perpaduan sejati apa jua kelompok tidak akan wujud apabila tiadanya nilainilai
teras yang merealitikan perpaduan itu iaitu keikhlasan, kejujuran dan keadilan serta
saling menjaga rukun dan adab dalam muamalah dan perhubungan. Inilah yang dapat
kita fahami dari firman Allah yang bermaksud:
“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan berceraiberai…”
(Ali-Imran: 103)
38. Isu survival Melayu dan agama Islam di Malaysia ini tidak akan dapat diselesaikan jika
kita masih melihatnya melalui teropong UMNO dan para kuncunya. Ia perlu dikaji dari
perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia.
Jika UMNO benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan
kemungkaran yang diamalkan selama ini. Suburkanlah iklim demokratik di Malaysia
berasaskan perlembagaan negara yang ada. Wujudkan ruang persaingan yang terbuka
dan sihat dan berasaskan syariat yang ditetapkan Islam. Ini akan menjadikan kita lebih
kreatif dalam usaha menyampaikan khidmat yang terbaik untuk seluruh rakyat tanpa
mengira kaum dan agama berasaskan kebenaran dan keadilan. Dengan ini Islam yang
murni akan lebih terserlah. Barisan kepimpinan Islam yang bertaqwa, bijaksana dan adil
akan dapat dilahirkan. Masyarakat bukan Islam akan lebih memahami Islam dan
melihatnya secara objektif dan tepat. Perkara ini sedang menjadi kenyataan. Masyarakat
bukan Islam tidak lagi menjadi fobia kepada Islam apabila bersedia mengundi parti
Islam di dalam pilihanraya, selepas sekian lama, UMNO telah menjadikan segala
berunsur Islam sebagai momokan kepada mereka.
39. Bagi kita Parti Keadilan dan Pakatan Rakyat, kita mahukan wujudnya sebuah masyarakat
majmuk yang dapat hidup bersama dengan saling lengkap melengkapi dan bekerjasama
ke arah Negara yang makmur dan aman damai. Islam yang sebenar mengajar umatnya
agar bersikap adil, sederhana dan sentiasa menghormati bangsa dan agama lain.
40. Oleh yang demikian, kita menyeru kepada seluruh orang Melayu, umat Islam dan
masyarakat Malaysia umumnya agar tidak mudah diperkotak katikkan oleh UMNO
dengan mengatakan bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan suara jika Negara
diperintah oleh Pakatan Rakyat. Kita juga menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar
dapat berfikir dengan rasional dan fakta yang jelas serta tidak keliru dengan dakwaan
mereka. Jelas terbukti bahawa Umno BN telahpun mengkhianati mereka di masa silam.
Apakah yang dapat menjamin mereka tidak akan berlaku curang lagi di masa hadapan
jika amanah kuasa terus diberikan kepada mereka?
41. Menyedari hal di atas, kita melihat bahawa Parti ini perlu menyediakan kerangka
tindakan konkrit bagaimana persoalan kebimbangan mengenai kedudukan dan survival
rakyat Malaysia dalam konteks pelbagai agama dan kaum ini dapat ditangani secara
meyakinkan. Agenda tindakan ini perlulah direalitikan secepat mungkin. Kita mahu
melihat agenda konkrit para usahawan kita bersama-sama membangunkan kumpulan
usahawan muda baru tanpa mengenal batas agama dan perkauman. Kita mahu melihat
para doktor memberikan khidmat rawatan percuma di kampong-kampung baru dan
kampong tradisi yang dhaif dan miskin tanpa mengambil kira kedudukan agama dan
kaum seseorang. Marilah bersama kita buktikan kepada seluruh rakyat termasuk di
Sabah dan Sarawak, bahawa pendekatan KEADILAN dan Pakatan Rakyatlah benarbenar
mampu menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat majmuk di Malaysia ini secara
menyeluruh dan total ke arah Malaysia yang lebih adil dan sejahtera. Semoga kongres
kita dapat mencari formula yang benar-benar kontrit untuk direalitikan bersama.
DASAR PENDIDIKAN UNTUK RAKYAT
Saudara-saudari yang dihormati sekalian,
42. Adalah suatu kenyataan bahawa dasar pendidikan negara kini sedang berada dalam
situasi krisis dan memerlukan perhatian serius dan tindakan jitu oleh kesemua pihak.
Mutu pendidikan negara di segenap peringkat dan bidang sedang mengalami
kemerosotan yang teruk. Akta Universiti dan Kolej telah mengongkong kebebasan
berfikir dan akademik para pendidik dan pelajarnya. IPT negara terkeluar dari kumpulan
IPT terbaik dunia. Manifestasi dari krisis di atas adalah berleluasanya kemacetan
pemikiran, kebejatan moral, kemerosotan keselamatan sosial, kerapuhan perpaduan dan
tahap kemiskinan yang tinggi.
43. Kegagalan pendidikan negara telah telah menghasilkan pelbagai gejala buruk yang
sedang membarah – peningkatan kadar jenayah, amalan rasuah, politik wang, pecah
amanah, perlanggaran hak asasi manusia, ketidakadilan di dalam sistem kehakiman,
keruntuhan akhlak remaja, kebanjiran pelacur-pelacur asing, gejala aids dan dadah.
.
44. Tahap pendidikan, ekonomi dan pembangunan negara kita jauh ketinggalan jika
dibandingkan dengan jiran-jiran kita yang telah melangkah jauh kehadapan seperti
Singapura, Thailand, Taiwan, Korea Selatan, Cina dan India. Keadaan ini adalah
manifestasi dari kegagalan sistem pendidikan negara melahirkan generasi dan masyarakat
yang dapat memacu pembangunan ekonomi negara. Ranking universiti-universiti di
Malaysia yang jatuh teruk mengakibatkan moral kakitangannya merosot dan mutu
pelajar yang dilahirkan juga tidak berupaya menghadapi cabaran masa depan.
45. Di samping itu, kita melihat berleluasanya ketidakadilan pengagihan pendidikan. Hanya
mereka yang berpengaruh dan kaya sahaja yang mampu mendapat pendidikan berkualiti.
Sebahagian besar rakyat miskin terbiar dan sekadar menerima kualiti pendidikan
pinggiran. Melebarnya jurang pendidikan di intitusi pendidikan awam dan swasta. Ini
memberi kesan memberi kesan buruk sampingan seperti kerapuhan perpaduan antara
pelbagai kaum dan agama. Bagi rakyat Sabah dan Sarawak, meskipun mereka telah lebih
45 tahun merdeka bersama Malaysia, rakyatnya masih masih jauh tercicir dari segi
pendidikan terutama di luar bandar dan kawasan pendalaman.
46. Kita merasa bimbang, melihat Bahasa Melayu gagal dilaksanakan sebagai bahasa
pengantar utama dan sekaligus sebagai bahasa ilmu dan perpaduan dalam
membangunkan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai etnik dan kaum. Isu dasar
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
masih belum selesai hingga ke hari ini. Meskipun dasar tersebut akan diubah, namun
kesan yang dialami amat buruk dan bakal memerlukan kos pemulihan yang amat tinggi.
47. Sewajarnya pihak berkewajipan menerimapakai prinsip utama bahawa pendidikan
bukanlah pelajaran. Pendidikan bukan sekadar proses memindah ilmu (transfer), tetapi
lebih utama lagi ialah proses membentuk atau membina (transform) insan dan masyarakat
umumnya kearah kesempurnaan. Namun demikian prinsip yang sedia wujud ini telah
tidak dilaksanakan dengan sempurna. Oleh itu, penukaran nama Kementerian
Pendidikan untuk digantikan dengan Kementerian Pelajaran adalah merupakan kesilapan
besar negara dalam bidang pendidikan. Falsafah Pendidikan Negara, telah jelas
meletakkan asas pembangunan manusia berasaskan prinsip pembangunan JERI –
Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek. Namun, perlaksanaan pendidikan negara tidak
menampakkan secara tegas mengenai prinsip ini.
48. Polisi pendidikan negara dilihat sentiasa berubah apabila menterinya bertukar. Mereka
dilihat seakan tidak memahami falsafah dan dasar pendidikan yang telah diasaskan lebih
awal. Malah seolah-olah menyanggah apa yang dilaksanakan oleh dasar sebelumnya.
Umpamanya, dasar-dasar pendidikan yang dibuat Menteri pada 1996 lebih banyak
merobek dasar-dasar pendidikan bersepadu berasaskan falsafah pendidikan negara yang
diasaskan oleh Menteri sebelumnya. Perubahan-perubahan dasar pendidikan berlaku
tanpa kajian menyeluruh dan mendalam dan tidak pula merujuk mereka yang benarbenar
pakar dalam bidang pendidikan. Inilah yang berlaku semasa dasar PPSMI dibuat.
49. KEADILAN telah bermuafakat dan beriltizam bagi menjadikan PENDIDIKAN
sebagai satu wahana teras dalam merealisasikan prinsip perjuangan KEADILAN bagi
menegakkan kebenaran, mewujudkan keamanan, memperkasakan perpaduan,
menyuburkan kemakmuran serta memberi kesejahteraan hidup kepada seluruh warga
Malaysia terutama bagi golongan yang terpinggir dan miskin. Menegaskan bahawa
pendidikan merupakan tanggungjawab asasi negara dan perlu diberikan perhatian utama
dan tanpa toleransi oleh kerajaan yang memerintah.
50. Kita juga perlu mengkaji semula pelaksanaan dan perancangan dasar pendidikan,
meneroka mekanisme baru serta mengemukakan cadangan tindakan demi mencapai
sistem pendidikan bersepadu yang bermutu, adil lagi demokratis serta agar harapan baru
dalam bidang pendidikan dapat diperkukuh semula. Kesemua pihak perlu
mengembalikan semula roh Falsafah Pendidikan Negara yang telah termaktub dalam
Akta Pendidikan 1986.
AMANAH MEMBELA RAKYAT
Saudara-saudari sekalian,
51. Kita berkumpul pada hari ini di dalam kongres yang terakhir sebelum pilihanraya umum
ke-13, kalau desas-desus yang kuat bertiup itu benar. Apa pun, kita tidak punya pilihan
kecuali untuk bersiap sedia secukupnya kerana kita memikul amanah besar untuk
membela rakyat. Kalau ada yang pernah luka, hilangkanlah parutnya. Kalau ada yang
sedikit tercalar, gilaplah supaya semangat juang kembali tinggi untuk berdepan dengan
musuh. Yang menang memikul tanggungjawab memimpin, yang kalah bersiap sedia
merempuh musuh; bak kata pepatah biduk lalu kimbang bertaut. Carik-carik bulu ayam,
lama-lama bercantum juga.
52. Amanah membela rakyat dan mengangkat martabat negara adalah lebih besar dari parut
atau calar kita. Apatah lagi, dalam suasana rakyat di bawah yang terus ditindas dengan
kemelut sara hidup yang tinggi. Pemerintah Pusat tidak pernah jemu dengan rancangan
ekonomi bersaiz mega dan ungkapan-ungkapan yang memukau. Mulanya dengan NEM,
kemudian beralih kepada ETP, lantas jadi pula EPP. Jutaan wang rakyat dibazirkan untuk
membayar entah berapa ramai juru runding untuk memilih huruf-huruf besar ini, tetapi
kesannya kepada rakyat kecil sekali.
53. Para perancang ekonomi mereka seperti terpisah dari realiti keperitan hidup di bawah.
Sedang mereka tenggelam dalam impian membina bangunan tinggi 100 tingkat di bilik
mesyuarat mereka, rakyat miskin di bandar-bandar dan di desa terlantar lara tidak
mampu memiliki sebuah rumah. Bukan sahaja jumlah rumah kos rendah atau mampu
milik tidak mencukupi, kalau pun permohonan mereka diterima, mereka berdepan pula
dengan masalah mendapatkan pembiayaan akibat syarat-syarat yang terlalu ketat.
54. Mereka bercakap tentang lonjakan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi; tetapi
pelaburan asing terus merudum dan mereka berpura-pura tidak perlukan pelaburan
asing untuk memacu ekonomi. Kita baru saja menyaksikan kemasukan pelaburan
langsung asing (FDI) ke dalam negara merosot sebanyak 81 peratus dari RM23.47 bilion
pada tahun 2008 kepada RM4.43 bilion pada tahun 2009. Ini merupakan kemasukan
FDI paling rendah sejak 20 tahun lalu selain tahun 2001 di mana negara mencatat
kemasukan FDI RM1.54 billion. World Investment Report 2010 baru-baru ini turut
melaporkan yang negara mengalami kemerosotan ketara dalam kemasukan FDI serta
peningkatan dalam pengaliran keluar FDI yang menunjukkan ketidakyakinan pelabur
dalam pengurusan ekonomi negara kita.
55. Di kalangan negara-negara Asean, hanya Malaysia mengalami aliran masuk pelaburan
yang negative (negative inflow). Meskipun Thailand bergelumang dengan pelbagai kacau
bilau politik dan boikot sepanjang 2009 dan 2010, ekonomi Thailand dijangka tumbuh
pada kadar 6.5 hingga 7.5 peratus; iaitu setanding atau lebih baik dari sasaran Malaysia, 6
peratus. Singapura pula katanya, dijangka berkembang pada kadar 13 peratus hingga 15
peratus, iaitu dua kali ganda lebih pantas dari kadar pertumbuhan ekonomi negara.
56. Pertumbuhan ekonomi jiran kita Indonesia kekal 6 peratus. Ia adalah lebih baik
berbanding Malaysia yang meskipun dijangka mencapai 7 peratus, namun ia adalah
pertumbuhan ekonomi negara selepas penguncupan. Kadar pertumbuhan ekonomi
negara adalah setara dengan Cambodia, Myanmar, Brunei, Laos dan Timor-Leste. Ini
merupakan pertama kali dalam sejarah FDI Filipina mengatasi Malaysia FDI negaranegara
Asean yang lain seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam jauh
meninggalkan Malaysia. Lebih membimbangkan kita, laporan terbaru Bank of America
dan Merill Lynch turut tidak menyenaraikan Malaysia sebagai 10 destinasi kemasukan
pelaburan asing berbanding dengan China.
Para perwakilan yang dihormati,
57. Kita perlu terus meletakkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat
terulung dalam perancangan ekonomi negeri-negeri yang kita kuasai. Hatta, pendekatan
merakyatkan ekonomi yang diamalkan oleh Pakatan Rakyat perlu dijunjung menjadi
dasar-dasar teras dalam kerangka ekonomi kita. Isu-isu pokok yang kini membelenggu
rakyat seperti isu perumahan dan peluang pekerjaan perlu dirungkai oleh Keadilan dan
Pakatan Rakyat. Malaysia memerlukan proses reformasi yang radikal untuk
menyelesaikan segera permasalahan rakyat terbanyak, bukannya transformasi kosmetik
yang tenggelam di sebalik kempen-kempen public relations yang mahal.
58. Dalam kesempatan ini, saya mahu mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada
YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang tabah membela rakyat
melalui konsep Merakyatkan Ekonomi yang telah menjadi trademark KEADILAN.
Istilah “merakyatkan” ini cukup besar pengaruhnya, sehinggakan Kerajaan Terengganu
di bawah lawan kita senyap-senyap menciplak istilah ini untuk dipaparkan di papan tanda
di seluruh negeri.
59. Amanah kita untuk membela rakyat dengan mengembalikan hak mereka dan meletakkan
kesejahteraan mereka sebagai matlamat keramat adalah amanah yang besar. Amanah ini
memerlukan persiapan kita; baik dari segi keupayaan kita mendengar masalah mereka,
kebolehan kita menterjemahkan dasar-dasar yang berkesan untuk menyelesaikan masalah
mereka; dan ketabahan kita melakukan perubahan demi rakyat walaupun berdepan
dengan tentangan. Oleh itu saya mengingatkan para perwakilan untuk menumpukan
sepenuh perhatian mencari inovasi baru untuk membela rakyat terutamanya dalam
bidang ekonomi, supaya kita dapat menyelamatkan negara dan rakyat dari terus
ketinggalan berbanding jiran-jiran.
MENDOKONG ASPIRASI PAKATAN RAKYAT
60. Di penghujung pembicaraan saya di sini, izinkan saya untuk mengulangi iltizam kita
untuk kukuh berdiri bersama-bersama rakan-rakan kita di dalam gabungan Pakatan
Rakyat untuk menyediakan suatu rencana dasar dan kebijakan untuk membawa keluar
bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing ini. KEADILAN bersama
rakan-rakan kita di dalam Pakatan Rakyat telah berikrar untuk bersama-sama menghayati
dan melaksanakan agenda politik baru ke arah menggembleng tenaga rakyat dari
pelbagai kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.
61. Dasar yang telah diputuskan bersama ini telah dibina berasaskan kepatuhan kepada
Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin keluhuran undangundang
dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia menjamin hak-hak asasi
manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan dimartabatkan. Kita yakin, ia adalah
agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat
dan kemuliaan insan. Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan bersatu
padu.
62. Maka itu, demi manfaat dan garis pandungan perbincangan di dalam kongres ini, saya
perturunkan kembali garis kasar muafakat Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui
bersama para pemimpin utamanya, pada 19 Disember 2009 yang lalu. Sebahagian
perbincangannya, telahpun saya sentuh dalam ucapan saya di atas. 24 Dasar Utama
Pakatan Rakyat yang ingin saya ketengahkan adalah seperti berikut:
a. Mengukuhkan demokrasi telus dan tulen berasaskan perlembagaan.
b. Menjaga keutuhan doktrin pemisahan kuasa & integriti kerajaan.
c. Mewujudkan Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil.
d. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil
e. Memacu Ekonomi Kemahiran Tinggi.
f. Mengurus Ekonomi Demokratik dan Telus.
g. Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri
h. Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan
i. Menjaga Kebajikan dan Kesejahteraan Tenaga Kerja.
j. Jaringan Perlindungan Sosial Yang Berkesan.
k. Dasar Perumahan Satu Keluarga, Satu Rumah.
l. Memperkasa Sistem Prasarana dan Kemudahan Awam
m. Pengurusan Alam Sekitar Yang Lebih Terancang.
n. Mengukuhkan Perpaduan dan Keadilan Sosial.
o. Mempertahan Agama Islam dan kebebasan beragama setiap rakyat.
p. Sistem Pendidikan Mapan, Bermutu, Terjamin dan Adil.
q. Keadilan Untuk Golongan Wanita & Institusi Keluarga.
r. Pembelaan Hak Untuk Golongan Muda.
s. Jaminan Perlindungan Keselamatan Setiap Rakyat.
t. Perkhidmatan Kesihatan Terbaik Untuk Rakyat.
u. Sosio-Budaya Nasional Cernaan Masyarakat Majmuk.
v. Hubungan Persekutuan-Negeri Yang Lebih Adil.
w. Perjanjian Malaysia 1963 Asas Hubungan Persekutuan – Sabah/Sarawak.
x. Dasar Luar Negara Yang Lebih Dominan & Berkesan.
PENUTUP
Saudara-saudari yang dihormati,
1. Sesungguhnya, perjuangan kita bersama KeAdilan ini sungguh mulia di sisi Agama dan
kemanusiaan yang universal. Halatuju perjuangan kita dan jelas dan nyata. Kita
berjuang atas keinginan kita melihat Malaysia Baru yang rakyatnya yang terdiri dari
masyarakat yang majmuk ini, hidup atas dasar persaudaraan yang utuh, aman, harmoni,
makmur dan sejahtera. Kita bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di
kalangan rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan yang
kita bina berasaskan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati kita semua.
2. Berdasarkan visi di atas, kita mengajak seluruh rakyat Malaysia turut bersama memberi
dokongan dan bersama kita mencipta muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk
semua berasaskan prinsip-prinsip perlembagaan. Ini adalah agenda yang mesti dilakukan
untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan. Hanya
dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan bersatu padu.
3. Sebagai parti yang dihidupkan oleh ruh dan semangat reformasi, kongres seperti ini
merupakan kesempatan yang terbaik terbaik untuk barisan pimpinan di atas, mendengar
nada suara dan denyut nadi ahli-ahli kita dari peringkat akar umbi. Kongres ini juga
merupakan wacana keemasan untuk kita menyatukan hati, muhasabah diri, mencari
muafakat, menguatkan iltizam dan akhir sekali, membulatkan tekad untuk kekal dalam
perjuangan. Semoga kita dapat berbicara dan berbahas secara intelektual, membina dan
matang.
4. Akhir kata, tahniah dan terima kasih kepada Setiausaha Agong dan Sekretariat kerana
berjaya menganjurkan kongres pada kali ini dengan baiknya. Terima kasih kepada MPN
Selangor serta Kerajaan Negeri Selangor yang sudi menerima dan meraikan kehadiran
kita di Negeri yang maju dan indah permai ini. Juga terima kasih kita kepada siapa jua
yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Kongres ini.
Semoga usaha kita semua diberkati Allah jua.
Selamat bersidang. Terima kasih.
Sekian, wassalamualaikum wbth.
Datin Sri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,
Presiden,
Parti Keadilan Rakyat
27 November 2010

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: