Skip to content

Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor 12/04/2010

April 12, 2010

Petikan ucapan:

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera

Bismillahir Rahmanir Rahim,

Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala yang melimpahkan kasih sayang-Nya yang maha luas. Selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kepada seluruh keluarga dan para sahabat baginda.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subahanahu Wata’ala kerana dengan izinNya Beta dapat bersama-sama di Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Negeri Selangor Kali Ke-12, yang bermula pada hari ini hingga 16 April 2010, dan pada 19 hingga 20 April 2010. Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua wakil rakyat kerana kini sudah genaplah dua tahun sejak Pilihan Raya Umum pada tahun 2008 dan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat masih bersemangat untuk memberikan khidmat terbaik sejajar dengan amanah yang diberikan rakyat. Beta berharap

Dewan yang dimuliakan ini adalah medan terbaik untuk menyelesaikan pelbagai isu yang melibatkan kepentingan rakyat. Mulakanlah dengan niat untuk bekerja dengan jujur, ikhlas dan betul dan berilah kerjasama yang perlu kepada kepemimpinan negeri yang diketuai oleh Dato’ Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim.

Oleh itu Beta berkenan rakyat Beta, bekerjasama dengan barisan pemimpin Kerajaan Negeri Selangor yang berusaha membangunkan sumber-sumber negeri untuk “memewahkan negeri dan mensejahterakan rakyatnya”. Beta percaya keadaan kegawatan ekonomi dunia sepanjang tahun 2010 ini masih belum reda sepenuhnya. Meskipun wujud jangkaan pemulihan, namun Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan ia hanya berlaku pada kadar dua perpuluhan lima peratus (2.5%). la masih sesuatu yang positif. Namun, kita tidak boleh beranggapan yang ia sudah cukup baik. Sistem kewangan di negara maju masih bergelut dengan masalah tahap aktiviti di paras yang rendah.

Justeru itu, Kerajaan Beta perlu lebih peka dalam hal menjana pertumbuhan dan memastikan kebajikan rakyat Beta tidak terabai. Prestasi tadbir urus kerajaan Beta yang mendapat pengiktirafan Sijil Tanpa Teguran daripada Ketua Audit Negara tahun lalu meyakinkan Beta bahawa prinsip tadbir urus Kerajaan yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban yang dilaungkan oleh kepemimpinan negeri dari semasa ke semasa sedang berlaku dan membentuk paradigma baharu dalam usaha kita menyampaikan mesej keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Sejak dahulu, Selangor memang dikenali sebagai negeri tumpuan kerana kemajuannya. Selain penduduk asal, ramai rakyat dari negeri lain berhijrah ke Selangor untuk mencari sumber rezeki. Keadaan ini juga didorong oleh kemunculan banyak Pusat Pengajian Tinggi di sini. Ramai yang terus menetap dan membesarkan keluarga di sini. Kesan daripada kemajuan yang berterusan, Selangor merangsang pelbagai bakat dan kemahiran daripada seluruh ceruk untuk datang membina kehidupan di sini. Tidak dinafikan, kepesatan pembanguan di negeri Selangor terhasil daripada kejayaan rakyat mengekalkan keharmonian antara kaum, dan usaha ini bagi Beta merupakan antara contoh terbaik dan terpenting. la tidak mungkin berlaku tanpa kerjasama semua pihak. Oleh itu, Beta berkenan supaya keharmonian masyarakat majmuk di Selangor menjadi model nasional. Beta percaya kita semua boleh memberi komitmen bahawa segala perbezaan antara kita merupakan suatu aset dan bukan punca perbalahan. Buanglah segala prejudis yang ada kerana apa juga cabaran yang bakal dihadapi tidak pernah mengenal warna kulit dan keturunan. Sesungguhnya, Perlembagaan memberikan hak kepada semua pihak dan sifat Perlembagaan sebenarnya untuk melindungi rakyat sama ada daripada segi politik, ekonomi atau sosial. Justeru itu, fahamilah Perlembagaan Negara agar kita tidak berlebihan dalam usaha menuntut hak masing-masing.

Beta tidak mahu ahli-ahli politik negeri Selangor menghabiskan masa yang banyak untuk berpolitik sahaja. Politik harus ada masa dan tempatnya. Di dalam Dewan ini, gunakanlah kesempatan yang terhad untuk membincangkan dasar-dasar yang baik dan janganlah berkelakuan yang tidak sepatutnya. Semua Ahli Dewan harus memberi contoh baik akal-budi kepada semua. Beta gembira terhadap dasar kerajaan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri dan meluaskan perkongsian kekayaan untuk rakyat melalui Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan Pakej Rangsangan Ekonomi sebagaimana yang dipaparkan dalam buku Tadbir-Urus Selangor: Dasar, Program dan Fakta. Rekod yang dicatat ini harus dirujuk untuk dinilai perkembangannya.

Fasa Pertama dan Kedua Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sedang berlangsung dan Beta amat berharap perkara-perkara yang dilaksanakan memberi manfaat kepada golongan warga emas, wanita, anak muda, pelajar, pekerja sektor ladang dan pertanian, kanak-kanak bahkan seluruh warga negeri Selangor. Namun, Beta percaya bahawa penambahbaikan boleh terus dilaksanakan. Kumpulan SEMESTA Sdn Bhd pada tahun 2009 memperolehi keuntungan sebanyak Ringgit Malaysia Lapan perpuluhan Dua Satu Juta (RM8.21 juta). Sepuluh peratus (10%) daripada hasil keuntungan ini diserahkan kepada Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

[Download full PDF text]

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: